Skip to main content

Kewangan

Penduduk kampung jadi mangsa kembalinya MotoGP ke Indonesia

Di sebalik litar Mandalika yang tersergam indah di Lombok, terdapat dakwaan pencabulan hak asasi - dengan penduduk tempatan dipaksa pindah dan hilang mata pencarian.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kampung jadi mangsa kembalinya MotoGP ke Indonesia

Litar perlumbaan Mandalika di Lombok, Indonesia (Gambar: AFP/BAY ISMOYO)

Diterbitkan : 21 Nov 2021 10:44PM Dikemas Kini : 21 Nov 2021 10:53PM

LOMBOK: Pulau peranginan Lombok menyambut ribuan peminat pada Ahad (21 Nov) untuk perlumbaan superbike pertama Indonesia di litar baru, yang merupakan sebahagian daripada projek prasarana pelancongan mega yang dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pengusiran keluarga tempatan.

Indonesia mempunyai salah satu masyarakat peminat perlumbaan motosikal terbesar di dunia dengan kebanyakan daripada lebih 270 juta penduduk negara itu, menggunakan motosikal.

Bagaimanapun negara itu sudah tidak menjadi tuan rumah perlumbaan utama sejak 1997.

Bagi pembinaan litar baru Mandalika, beberapa kampung dipindahkan secara sukarela mahupun paksa.

Namun sekitar 40 keluarga - bersama haiwan ternakan dan anjing mereka - masih bertahan di tengah-tengah litar walaupun berhadapan dengan ugutan untuk menyerahkan tanah mereka.

Golongan pencinta alam juga mempersoalkan kebijaksanaan menganjurkan acara berskala besar di pulau yang diancam bencana alam.

Acara superbike pada Ahad di litar perlumbaan 4.3km itu adalah pembuka tirai kepada perlumbaan MotoGP - Grand Prix motosikal yang akan diadakan di pulau itu pada Mac 2022.

"Saya di sini untuk menonton World Superbike. Saya hampir-hampir tidak percaya (Indonesia ada litar ini) ... Acara itu akan membantu ekonomi di sini," kata Rini Yuniarti, seorang peminat dari Bali.

Pemerintah berharap dapat menjana beribu-ribu pekerjaan dan menarik sehingga 2 juta pelancong asing setahun dengan kompleks litar itu, yang meliputi lebih seribu hektar di pesisiran pantai.

Namun projek baru yang tersergam indah itu telah mencetuskan konflik antara pihak berkuasa dengan penduduk tempatan.

PENDUDUK KETINGGALAN TANPA SUMBER AIR

Sebuah kampung di kawasan itu sunyi dan lengang dengan beberapa rumah kosong dan papan tanda berbunyi: "Tanah ini milik negara."

Namun Abdul Latif, 36 tahun, dan empat anaknya masih enggan meninggalkan rumah mereka kerana belum menerima sebarang pampasan untuk berpindah.

"Kehidupan di sini sekarang sukar ... Akses sangat terhad," katanya. "Kami main sembunyi-sembunyi dengan anggota keselamatan yang mengawal kawasan itu."

Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Kadir, 54 tahun, berkata golongan muda sukar untuk sekolah kerana disekat pihak keselamatan.

“Kami perlu jalan melalui terowong untuk ke sekolah,” kata anak perempuannya yang berusia 10 tahun. "Saya ingin pergi ke sekolah dengan mudah seperti dahulu."

Memburukkan lagi keadaan, perigi di kawasan itu kering sejak enam bulan lalu setelah terowong dibina di bawah litar, menyebabkan penduduk tidak mempunyai bekalan air.

Encik Abdul Latif (Gambar: AFP/BAY ISMOYO)

Encik Abdul Latif dan anak-anaknya masih tinggal di kawasan litar Mandalika (Gambar: AFP/BAY ISMOYO)

"MEREKA SERET SAYA"

Ramai penduduk kampung kehilangan mata pencarian, dengan petani dirampas tanah mereka dan nelayan dipindahkan dari pantai.

Pasukan keselamatan dikerah untuk menghalau beberapa keluarga manakala yang lain dipaksa menerima pakej pampasan yang tidak seberapa, kata peguam hak asasi manusia Widodo Dwi Putro, yang membela penduduk kampung.

"Mereka mengerahkan kira-kira 700 anggota polis untuk menghalau saya," kata Sibawai, seorang petani berusia 53 tahun.

"Saya cuba menghalang jentolak daripada masuk tetapi mereka mengheret saya," katanya.

Pakar PBB pada Mac lalu menggesa pemerintah Indonesia dan syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek itu "menghormati hak asasi manusia".

Wakil khas PBB berhubung hak asasi manusia dan kemiskinan melampau Olivier De Schutter berkata projek itu menerima "aduan mengenai rampasan tanah, pengusiran masyarakat orang asli kumpulan etnik Sasak dan ugutan serta ancaman terhadap pembela penduduk tempatan".

Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, yang dijangka menyumbang AS$250 juta kepada projek itu, berkata ia telah menjalankan kajian dan tidak mengenal pasti sebarang pelanggaran hak asasi manusia.

"INI HANYA PERMULAAN"

Lombok adalah satu daripada 10 lokasi baru yang ingin dibangunkan pihak berkuasa Indonesia menjadi destinasi pelancongan yang sama seperti Bali.

Pulau itu berdepan dengan cabaran untuk dibangunkan semula sejak gempa bumi besar melanda pada 2018, mengorbankan lebih 500 orang.

Bagi kebanyakan penduduk tempatan, harga tiket ke perlumbaan motosikal itu adalah di luar kemampuan mereka dan ramai yang terpaksa berpuas hati dengan menonton dari bukit yang menghadap ke litar.

(Gambar: AFP/BAY ISMOYO)

(Gambar: AFP/BAY ISMOYO)

Namun pihak berkuasa berharap usaha niaga itu akan berjaya memancing pelaburan.

Acara Superbike dan Moto GP adalah "salah satu cara terbaik untuk menarik pelawat dan pelaburan yang besar bagi wilayah kita", kata Zulkieflimansyah, gabenor wilayah Nusa Tenggara Barat, di mana terletaknya Lombok.

"Litar perlumbaan antarabangsa ini hanyalah permulaan ke matlamat itu."

Ditanya mengenai tuduhan berlaku pencabulan hak asasi manusia, Encik Zulkieflimansyah berkata beliau "sangat optimis" pertikaian itu akan dihuraikan secara saling menguntungkan buat pelabur dan masyarakat setempat.

Sementara itu, seorang aktivis alam sekitar dengan NGO Pusat Penyelidikan Lombok, Maharani,berkata risiko berlaku gempa bumi dan tsunami menimbulkan satu lagi kebimbangan.

"Kejadian tanah runtuh boleh terus menimbus kawasan litar. Jika berlaku tsunami, litar itu boleh menjadi lopak air," katanya.

Bagi Abdul Latif, yang tersepit di tengah litar kerana enggan meninggalkan rumahnya, beliau tidak ingin menonton perlumbaan itu.

“Saya rasa terbiar dan terasing,” katanya. "Seperti burung di dalam sangkar."  

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita