Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pendedahan pinjaman bank S'pura kepada krisis Evergrande 'tidak ketara', tegas Tharman

Pendedahan bank-bank Singapura kepada gergasi hartanah China, Evergrande yang dibebani dengan hutan, adalah kecil, menurut Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendedahan pinjaman bank S'pura kepada krisis Evergrande 'tidak ketara', tegas Tharman

Gambar fail logo di luar bangunan China Evergrande Centre di Hong Kong dilihat pada 23 Sep 2021. (Gambar: Reuters/Tyrone Siu)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 01:06PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 01:16PM

SINGAPURA: Pendedahan bank-bank Singapura kepada gergasi hartanah China, Evergrande yang dibebani dengan hutan, adalah kecil, menurut Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Isnin (4 Okt).

Beliau turut menekankan bahawa pendedahan sistem perbankan Singapura kepada sektor hartanah China secara keseluruhannya "tidak besar".

Pendedahan langsung kepada sektor hartanah China adalah kurang 1 peratus daripada pinjaman bukan bank, dedah Encik Tharman dalam jawapan bertulisnya kepada soalan parlimen mengenai krisis hutang Evergrande dan sama ada ia boleh membawa kesan terhadap institusi-institusi kewangan di Singapura.

Pendedahan kepada para pemaju hartanah Singapura yang beroperasi di China adalah 2.5 peratus lagi pinjaman kepada pelanggan bukan bank, tambah Encik Tharman. Ini termasuk semua pinjaman yang dibuat kepada pemaju tersebut bukan sekadar pinjaman yang berkaitan dengan operasi mereka di China.

Evergrande, salah satu pemaju hartanah terbesar di China, dibelenggu dengan masalah pinjaman bernilai lebih AS$300 bilion <<>> - jumlah yang menjadikannya syarikat hartanah yang paling dibebani hutang di dunia.

Ia sudah berhenti membayar balik beberapa pelabur dan pembekal, menghentikan kerja-kerja binaan bagi banyak projek perumahan merata China - tindakan yang menimbulkan panik dan mencetusan bantahan yang jarang berlaku di luar ibu pejabat syarikat tersebut di Shenzhen pada bulan lalu.

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Tharman juga menyentuh tentang pendedahan pemaju hartanah Singapura kepada China.

“(Penguasa Kewangan Singapura) menganggarkan sekitar 30 peratus pendapatan mereka secara keseluruhannya dijana di China. Namun, nisbah perlindungan faedah median mereka, atau nisbah pendapatan dan perbelanjaan faedah, adalah lebih daripada tiga kali ganda," katanya.

Singapura juga sedang memantau sebarang tempias terhadap ekonomi negara ini yang disebabkan oleh pertumbuhan lebih perlahan di China.

"Walaupun pihak berkuasa China setakat ini berhasil mengekalkan kestabilan pada sistem kewangan mereka, sektor hartanah China yang lebih perlahan boleh melemahkan pertumbuhan GDPnya," jelas Encik Tharman.

"Sukar untuk menganggarkan betapa ketara kesan ini, dan juga betapa buruk kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi serantau."

Beliau menambah MAS dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sedang "mengawasi" setiap kesan langsung atau tidak langsung terhadap ekonomi Singapura yang timbul dari perkembangan di China.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan