Pendapatan suku tahunan SIA cecah paras rekod
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (20 Feb) mencatatkan pendapatan suku tahunan yang mencecah paras rekod, dipacu oleh permintaan kukuh bagi perjalanan udara pada hujung tahun lalu, tetapi mendedahkan bahawa pengembangan kapasitinya mengatasi pertumbuhan penumpang.

Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: AFP/Fabrice Coffrini)
Sekalipun persaingan sengit di rantau ini apabila syarikat-syarikat penerbangan Asia terus menambah kapasiti selepas pandemik, SIA menjangkakan permintaan akan kekal kukuh bagi suku antara Januari-Mac.
Pendapatan, yang menjadi kayu ukur bagi tambang penerbangan, jatuh 4.5 peratus pada suku ketiga disebabkan oleh jumlah tempat duduk tambahan yang ditambah pada rangkaiannya meningkat lebih daripada jumlah penumpang.
Pendapatan peringkat kumpulan meningkat 2.7 peratus kepada paras rekod S$5.2 bilion berbanding tahun sebelumnya, menurut syarikat penerbangan itu.
Pertumbuhan 9.7 peratus berbanding setahun lalu bagi pendapatan kargo adalah lebih kukuh daripada pertumbuhan 1.7 peratus bagi pendapatan penumpang bagi suku itu, disokong oleh aktiviti e-dagang yang kukuh, lebih banyak penyewaan pengangkutan barangan, dan peningkatan pada pengangkutan barangan mudah rosak, katanya.
SIA, syarikat penerbangan utama di Asia, telah mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah e-dagang dari China dan rantau ini.
Keuntungan bersih syarikat penerbangan itu meningkat lebih dua kali ganda kepada paras rekod pada suku berakhir 31 Dis, dibantu oleh keuntungan sekali sahaja daripada penggabungan Air India dan Vistara.
SIA mencatatkan keuntungan bersih sebanyak S$1.63 bilion bagi suku tersebut, berbanding S$659 juta setahun sebelumnya. Kira-kira S$1.10 bilion daripada jumlah itu disebabkan oleh keuntungan sekali sahaja daripada penggabungan Air India-Vistara.
SIA, yang memiliki sekitar 49 peratus syarikat penerbangan India, Vistara, memuktamadkan penggabungan Air India dan Vistara pada November lalu, dalam usaha untuk mewujudkan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang dominan untuk pasaran domestik dan antarabangsa India.
Perjanjian itu memberikan SIA kepentingan sebanyak 25.1 peratus dalam kumpulan Air India, manakala konglomerat Tata memegang 74.9 peratus entiti gabungan itu.
Singapore Airlines Group termasuk SIA dan syarikat penerbangan tambang jimat Scoot.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.