Pendapatan suku ketiga Grab jatuh 9% dek sekatan COVID-19
Pendapatan perniagaan kereta sewa Grab menjunam 26%, manakala pendapatan unit penghantarannya melonjak 58%.
Gambar fail iklan Grab di Singapura (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Firma tempahan pengangkutan dan penghantaran makanan terbesar di Asia Tenggara, Grab Holdings Inc pada Khamis (11 Nov) melaporkan kemerosotan sebanyak sembilan peratus pada pendapatan suku ketiga disebabkan oleh perniagaan mobilitinya yang terjejas oleh sekatan-sekatan koronavirus yang dikuatkuasakan di sesetengah negara di rantau ini.
Penularan baru di Asia Tenggara menjejas unit mobiliti Grab yang ketinggalan di belakang perniagaan penghantarannya, iaitu penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat tersebut.
Perniagaan mobilitinya meraih pendapatan AS$88 juta (S$119.09 juta), menjunam 26 peratus berbanding setahun lalu, sedang penjualan bagi unit penghantarannya melonjak 58 peratus.
"Khidmat mobiliti dan penghantaran makanan telah digantung di Vietnam bagi tempoh yang panjang dalam suku ketiga dan enam negara teras kami di mana kami beroperasi menguatkuasakan kawalan pergerakan yang lebih ketat," kata Ketua Pegawai Kewangan Peter Oey.
Grab juga menyaksikan persaingan yang semakin sengit daripada aplikasi-aplikasi hebat yang turut menawarkan pelbagai khidmat melalui satu aplikasi seperti Gojek di Indonesia.
Grab yang berpangkalan di Singapura memeterai perjanjian bernilai AS$40 bilion (S$54.13 bilion) dengan sebuah syarikat peringkat pembangunan, Altimeter Growth Corp pada April, dengan perjanjian penggabungan itu merupakan yang terbesar seumpamanya dan Grab kini semakin menepati sasarannya untuk disenaraikan dalam bursa saham Amerika Syarikat.
Diasaskan pada 2012 sebagai aplikasi teksi serantau di Malaysia, syarikat yang disokong oleh SoftBank Group itu mengendalikan aplikasi sehenti yang menyediakan khidmat pengangkutan, penghantaran makanan dan barangan runcit, perbankan digital dan khidmat pembayaran di lebih 400 bandar di lapan negara di Asia Tenggara.
Kerugian terlaras syarikat sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan hutang meningkat sebanyak 66 peratus kepada AS$212 juta (S$286.9 juta).
Jumlah pendapatan keseluruhan merosot kepada AS$157 juta (S$212.46 juta) bagi suku yang berakhir pada 30 Sep, berbanding AS$172 juta (S$232.76 juta) setahun yang lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.