Skip to main content

Kewangan

Pendapatan sebenar SG bangkit semula pada 2024 selepas merosot tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan sebenar SG bangkit semula pada 2024 selepas merosot tahun lalu

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 12:43PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 01:35PM
  • Pendapatan nominal meningkat pada rentak yang lebih pantas tahun ini berbanding tahun lalu, dengan median pendapatan kasar bulanan nominal meningkat daripada S$5,197 kepada S$5,500, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan awal tenaga buruh di Singapura.
  • Bagi kumpulan 20 peratus paling bawah, pendapatan nominal berjumlah S$3,026, meningkat 7.1 peratus daripada S$2,826.
  • Menurut MOM, pertumbuhan pendapatan bagi kumpulan 20 peratus paling bawah, adalah lebih tinggi daripada pendapatan median.
  • Hampir 60 peratus pekerja yang menukar industri pada 2024 memperoleh gaji sekurang-kurangnya 5 peratus lebih tinggi selepas mengambil kira inflasi, dan sekitar 20 peratus memperoleh sekitar gaji yang sama.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sedang gaji meningkat dan inflasi berkurangan, pendapatan sebenar penduduk Singapura meningkat pada 2024, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (28 Nov).

Pendapatan sebenar mengambil kira inflasi dan mengukur kuasa membeli seseorang individu.

Pendapatan nominal meningkat pada rentak yang lebih pantas tahun ini berbanding tahun lalu, dengan median pendapatan kasar bulanan nominal meningkat daripada S$5,197 kepada S$5,500, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan awal tenaga buruh di Singapura.

Ia merupakan peningkatan 5.8 peratus, meningkat daripada pertumbuhan 2.5 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu.

Bagi kumpulan 20 peratus paling bawah, pendapatan nominal berjumlah S$3,026, meningkat 7.1 peratus daripada S$2,826. Dari 2022 hingga 2023, pendapatan nominal kumpulan ini hanya meningkat 1.7 peratus.

Peningkatan pendapatan nominal bersama dengan penurunan inflasi bermakna pendapatan sebenar meningkat pada 2024, kata MOM.

Bagi pekerja dalam kumpulan 20 peratus itu, pendapatan sebenar mereka meningkat 4.6 peratus selepas menyusut 3 peratus pada 2023.

Median pendapatan sebenar meningkat 3.4 peratus selepas menguncup 2.2 peratus tahun lalu.

"Malah, saya fikir kami melihat peningkatan yang meluas bagi semua kumpulan, jadi bukan hanya dua kumpulan ini yang kami fokuskan," kata Encik Ang Boon Heng, Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Statistik MOM.

"Pertumbuhan pendapatan sebenar pada 2024 adalah hampir dengan kadar pertumbuhan purata yang dilihat pada tahun-tahun sebelum COVID-19...ketika inflasi lebih rendah," menurut laporan itu.

Menurut MOM, pertumbuhan pendapatan bagi kumpulal 20 peratus paling bawah, adalah lebih tinggi daripada pendapatan median. Encik Ang berkata ini bermakna ketidaksamaan pendapatan semakin mengecil.

"Ini disokong oleh inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah, seperti (Model Gaji Progresif) dan saranan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) mengenai kuantum kenaikan gaji untuk pekerja bergaji rendah."

MOM menambah bahawa pekerja bergaji rendah boleh menjangkakan peningkatan pendapatan yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang, dan daya penghasilan masih mengatasi kenaikan gaji.

MOM juga menekankan bahawa majoriti pekerja berumur antara 25 dan 64 tahun yang beralih ke industri yang berbeza menyaksikan peningkatan pada pendapatan mereka.

Itu menunjukkan bahawa perubahan industri membawa kepada "hasil pekerjaan yang positif".

"Mereka secara amnya dibayar gaji bagi jawatan berkemahiran tinggi dalam sektor yang lebih produktif," menurut laporan itu, sambil merujuk kepada khidmat kewangan dan insurans, infokom serta perkhidmatan profesional.

Sepanjang sepuluh tahun yang lalu, lebih ramai penduduk berpindah ke sektor-sektor tersebut.

Hampir 60 peratus pekerja yang menukar industri pada 2024 memperoleh gaji sekurang-kurangnya 5 peratus lebih tinggi selepas mengambil kira inflasi, dan sekitar 20 peratus memperoleh sekitar gaji yang sama.

Baki 20 peratus menyaksikan pendapatan sebenar mereka merosot sekurang-kurangnya 5 peratus.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita