Pendapatan pelancongan, jumlah pengunjung ke S'pura pecah rekod 2 tahun berturut-turut
Jumlah pelancong yang mengunjungi Singapura pada tahun 2017 melonjak ke paras tertinggi buat dua tahun berturut-turut.
Para pelancong mengunjungi Merlion. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Jumlah pelancong yang mengunjungi Singapura pada tahun 2017 melonjak ke paras tertinggi buat dua tahun berturut-turut.
Jumlah pelancong yang tiba di Singapura naik 6.2 peratus kepada 17.4 juta, dengan tujuh daripada 15 pasaran utama - China, India, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat, Britain dan Jerman - juga mencatat paras rekod.
Mengumumkan demikian hari ini (12 Feb), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan tiga pasaran terbesar bagi para pelancong yang mengunjungi Singapura adalah China, Indonesia dan India.
India menyaksikan kadar pertumbuhan paling tinggi dan bersama China, kedua-dua negara itu menyumbang kepada sebahagian besar kenaikan jumlah pelancong yang mengunjungi Singapura.
Meskipun jumlah ketibaan pelancong secara keseluruhannya mencecah paras rekod, Pelancongan Perniagaan, Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (BTMICE) bagi tiga suku pertama tahun 2017 merosot lima peratus kepada 1.75 juta. Ini berbanding tempoh sama pada tahun 2016.
Industri kapal pesiaran yang kian rancak juga mencatat paras rekod, dengan jumlah penumpang naik 17 peratus kepada 1.38 juta.
Terdapat juga sebanyak 421 kapal yang singgah di Singapura, naik tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.
Anggaran awal bagi 2017 juga mendedahkan bahawa para pengunjung ke Singapura lebih banyak berbelanja.
Pendapatan pelancongan melonjak 3.9 peratus kepada $26.8 bilion.
Ini sebahagian besarnya disebabkan kenaikan jumlah ketibaan pengunjung dari semua 10 pasaran utama serta lebih banyak ketibaan dari pasaran yang berbelanja besar seperti China, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Britain.
China juga merupakan pasaran pendapatan utama buat tiga tahun berturut-turut.
Menurut STB, pertumbuhan pendapatan pelancongan dari China dan Britain dirangsang oleh kenaikan jumlah pelancong riadah serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa membeli-belah.
Mereka yang datang dari Amerika Syarikat juga mencatat perbelajaan tinggi semasa membeli-belah, namun kebanyakannya di Singapura untuk BTMICE.
Negara-negara yang perbelanjaannya merosot adalah dari Indonesia, India dan Jepun.
Ketua Eksekutif STB, Lionel Yeo, berkata pihaknya sangat gembira dengan prestasi industri pelancongan yang mencatat paras rekod buat dua tahun berturut-turut.
Beliau menambah, kerjasama antara STB dengan rakan-rakan industri "membuahkan hasil memberangsangkan, dalam konteks ekonomi global yang pulih lebih baik daripada yang dijangkakan, pertumbuhan berterusan dalam sektor pelancongan Asia Pasifik dan lebih banyak penerbangan serta kapal pesiaran yang singgah di Singapura".
Buat pertama kali dalam tiga suku pertama 2017, pendapatan pelancongan tidak termasuk bersiar-siar, hiburan dan permainan (TrexSEG) daripada industri BTMICE tumbuh empat peratus kepada $3.15 bilion berbanding tempoh sama tahun 2016.
Ini disebabkan para pengunjung BTMICE yang lebih banyak berbelanja untuk penginapan, beli-belah dan komponen-komponen lain TR, yang membantu mengimbangi kemerosotan pada ketibaan pengunjung BTMICE.
Jumlah keseluruhan pendapatan daripada bilik penginapan pula tumbuh 3.9 peratus mencecah $3.7 bilion, manakala penginapan hotel melonjak 1.5 peratusan mata.
Sebanyak 22 hotel baru juga dibuka. Sehingga bulan Disember 2017, terdapat sebanyak 420 hotel di Singapura. Ini bermakna bekalan bilik meningkat lima peratus kepada 67,084 bilik.
Menurut STB, ia "secara amnya optimis" tentang prospek pelancongan bagi tahun 2018 - meramalkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa dalam lingkungan antara 17.6 dengan 18.1 juta manakala pendapatan pelancongan dijangka dalam lingkungan antara $27.1 dengan $27.6 bilion.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.