Pencemaran Sungai Kim Kim tidak jejas keyakinan pelancong, menurut kerajaan negeri Johor
Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada bulan lepas di Pasir Gudang, tidak menjejaskan keyakinan pelancong untuk ke Johor.
Di Malaysia, beribu-ribu orang jatuh sakit selepas pencemaran sisa toksik dilaporkan di Pasir Gudang pada 7 Mac. (Gambar: Bernama)
JOHOR BAHRU: Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada bulan lepas di Pasir Gudang, tidak menjejaskan keyakinan pelancong untuk ke Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Cik Liow Cai Tung berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai kebimbangan pelancong untuk berkunjung ke Johor disebabkan pencemaran di sungai berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada pencemaran alam sekitar itu ada mendatangkan kebimbangan pelancong sekali gus menjejas bilangan mereka untuk melawat negeri itu terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2020.
“Kita menyasarkan seramai 16.6 juta pengunjung akan datang ke Johor sepanjang tahun ini, yang mana lapan juta daripadanya menetap di Johor sekurang-kurangnya satu malam,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Johor 2019 di Tampoi, pada Jumaat (5 Apr).
Pada tahun lepas, seramai 15.84 juta pengunjung melawat Johor berbanding 14.44 juta pelancong pada tahun 2017.
Memandangkan tahun hadapan juga merupakan penganjuran Sukan Malaysia di negeri itu, pihaknya juga yakin bilangan pengunjung ke Johor akan meningkat lagi, kata Cik Liow.
Pembersihan sisa toksik sepanjang 1.5 kilometer yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim sudah berjaya diselesaikan pada 17 Mac lepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.