Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemerintah umum langkah baru redakan pasaran hartanah

Pemerintah pada Rabu (15 Dis) mengumumkan sebuah pakej langkah-langkah bagi meredakan pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah umum langkah baru redakan pasaran hartanah

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 16 Dec 2021 08:21AM Dikemas Kini : 16 Dec 2021 02:55PM

SINGAPURA: Pemerintah pada Rabu (15 Dis) mengumumkan sebuah pakej langkah-langkah bagi meredakan pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB.

Langkah-langkah itu termasuk meningkatkan kadar Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD), memperketatkan ambang Nisbah Pembayaran Hutang Keseluruhan (TDSR) serta menurunkan had Nisbah Antara Pinjaman dan Nilai Hartanah (LTV) bagi pinjaman daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan media bersama.

"Pemerintah sudah memantau dengan rapi pasaran hartanah selama beberapa suku," menurut kenyataan itu, yang dikeluarkan kepada media hampir jam 11.40 malam. Ia menambah pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB rancak sejauh ini meskipun ekonomi bergelut dengan kesan COVID-19.

Harga perumahan privet naik sekitar sembilan peratus sejak suku pertama 2020.

Nilai flat jualan semula HDB juga meningkat sekitar 15 peratus sejak tempoh yang sama, mengundurkan kemerosotan sepanjang enam tahun, menurut pihak-pihaik berkuasa itu.

"Walaupun nisbah antara harga rumah dan pendapatan kekal di bawah purata sejarahnya, terdapat momentum peningkatan yang jelas. Di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah, jumlah urus niaga dalam pasaran perumahan privet dan pasaran flat jualan semula HDB juga tinggi sekalipun dengan keadaan COVID-19.

"Jika dibiarkan tanpa dikawal, harga mungkin melepasi asas ekonomi dan meningkatkan risiko langkah pembetulan yang tidak stabil pada kemudian hari. Peminjam juga akan terdedah kepada kemungkinan kenaikan kadar faedah pada tahun-tahun mendatang."

Langkah-langkah untuk meredakan pasaran perumahan privet dan awam itu bertujuan untuk "menggalak perumahan yang terus boleh dimampui."

Agensi-agensi itu menyatakan langkah-langkah yang diambil adalah tersusun bagi perumahan privet untuk mengurangkan permintaan yang meluas, terutama daripada mereka yang membeli hartanah untuk pelaburan dan bukannya untuk didiami.

Langkah-langkah untuk memperketatkan syarat kewangan bagi kedua-dua perumahan awam dan privet itu "akan menggalak pembeli supaya lebih berhemat dari segi kewangan".

Pemerintah juga akan menambah bekalan perumahan awam dan privet untuk memenuhi permintaan.

CUKAI SETEM LEBIH TINGGI BAGI YANG BELI LEBIH DARI 1 HARTANAH

Kadar ABSD sekarang ini bagi rakyat dan penduduk tetap Singapura, yang membeli rumah buat kali pertama kekal tidak berubah, masing-masing pada 0 peratus dan 5 peratus.

Untuk kedua-dua kumpulan pembeli itu, mereka akan dikenakan kadar ABSD yang dinaikkan bagi pembelian rumah yang kedua atau ketiga dan seterusnya.

 

Selain itu,dalam satu langkah khusus bagi perumahan awam pula, had LTV yang diperketatkan bagi pinjaman perumahan HDB kini akan dikurangkan dari 90 peratus kepada 85 peratus.

Ini mengurangkan jumlah maksimum yang boleh dipinjam daripada HDB oleh para bakal pemilik rumah.

Had yang disemak itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan, yang kekal pada 75 peratus.

Had LTV sebanyak 85 peratus itu tertakluk kepada permohonan flat baru bagi penjualan yang dilancarkan selepas 16 Disember dan permohonan lengkap flat jualan semula yang diterima oleh HDB dari 16 Disember.

"Langkah-langkah yang diambil dalam pakej meredakan pasaran ini akan membantu untuk menggalak pasaran hartanah yang stabil serta mampan. Pemerintah terus berwaspada terhadap trend risiko kenaikan harga yang berterusan berbanding pendapatan."

 

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa