Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemberhentian pekerja melonjak pada separuh pertama 2020; melepasi paras kemuncak SARS

Pemberhentian pekerja pada separuh pertama tahun ini melonjak ke paras tertinggi sejak krisis kewangan 2009, manakala pengambilan pekerja menjunam ke paras rekod sedang kesan pandemik COVID-19 menimpakan kesan yang sangat ketara pada pasaran buruh.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2020 04:38PM Dikemas Kini : 14 Sep 2020 11:49PM

SINGAPURA: Pemberhentian pekerja pada separuh pertama tahun ini melonjak ke paras tertinggi sejak krisis kewangan 2009, manakala pengambilan pekerja menjunam ke paras rekod sedang kesan pandemik COVID-19 menimpakan kesan yang sangat ketara pada pasaran buruh.

Seramai 11,350 pekerja diberhentikan pada separuh pertama 2020, lebih tinggi berbanding 10,120 yang hilang pekerjaan semasa SARS namun lebih rendah berbanding paras kemuncak kemelesetan-kemelesetan lalu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Lagi 81,720 pekerja diletakkan di bawah aturan waktu kerja lebih singkat atau diberhentikan buat sementara waktu pada suku kedua apabila kegiatan perniagaan digantung sepanjang tempoh "pemutus rantaian jangkitan" selama dua bulan antara April dengan Jun.

Kadar masuk semula pasaran buruh bagi pekerja yang diberhentikan pada suku kedua tahun ini juga merosot ke paras rekod 58 peratus.

Secara keseluruhannya jumlah pengambilan pekerja, tidak termasuk pembantu rumah asing, menguncup sebanyak 129,100 pada separuh pertama 2020 - pengurangan terbesar dalam tempoh enam bulan yang pernah dicatatkan sejauh ini.

Pengambilan pekerja asing merosot sebanyak 5.7 peratus, atau -66,400, jatuh lebih mendadak berbanding 2.7 peratus, atau -62,700, yang dialami pekerja tempatan.

Sebahagian besar daripada pemotongan pekerja asing melibatkan pemegang permit kerja dan pas kerja lain (-51,100), yang disusuli oleh Pas S (-11,200) dan Pas Pekerjaan (-4,100).

Tidak termasuk pemegang pas kerja dari industri binaan, limbungan kapal dan pemprosesan, kemerosotan pada jumlah permit kerja dan pas kerja lain adalah -32,900 pada separuh pertama tahun ini.

Pemotongan pekerja asing juga lebih meluas bagi kesemua industri, berdasarkan indeks penyebaran pekerjaan, yang merekod 38.4 bagi pekerja tempatan dan 16.8 bagi pekerja asing.

Metrik itu juga mengukur betapa luas perubahan pekerjaan merata industri.

PENGANGGURAN MENINGKAT

Kadar pengangguran yang disesuaikan mengikut musim terus meningkat sejak beberapa bulan lalu, mencecah 4.0 peratus dalam kalangan warga Singapura, 3.8 peratus dalam kalangan penduduk dan 2.8 peratus secara keseluruhannya pada Jun.

Pada Julai, ia meningkat kepada 4.3 peratus dalam kalangan warga Singapura, 4.1 peratus dalam kalangan penduduk dan 3.0 peratus secara keseluruhannya.

Kadar tersebut masih lebih rendah berbanding paras rekod kemelesetan lalu di mana kadar pengangguran mencecah 3.3 peratus secara keseluruhannya pada September 2009 dan 4.8 peratus pada September 2003.

Menurut MOM, ini adalah kali pertama ia mengeluarkan kadar pengangguran bulanan yang disesuaikan mengikut musim dan pihaknya akan terus berbuat demikian pada masa akan datang.

Peningkatan pada kadar pengangguran dalam kalangan penduduk disebabkan oleh kenaikan jumlah penganggur jangka pendek, jelas MOM, sedang kadar pengangguran jangka panjang penduduk yang disesuaikan mengikut musim merosot pada Jun 2020 dari 0.9 peratus kepada 0.8 peratus.

Jumlah jawatan kosong turut berkurangan, dari 46,300 pada Mac kepada 42,400 pada Jun, manakala nisbah jawatan kosong bagi setiap penganggur yang disesuaikan mengikut musim turun dari 0.7 pada Mac kepada 0.57 pada Jun.

Bagaimanapun, bilangan jawatan kosong pada suku lalu meningkat dalam sektor seperti khidmat kewangan, pentadbiran awam dan pendidikan, menurut MOM.

Kementerian itu menambah bahawa ketidaktentuan yang berterusan pada ekonomi global serta permintaan luaran yang lemah akan terus menjejas pasaran buruh pada separuh kedua tahun ini.

MOM menarik perhatian bahawa Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan GDP Singapura pada 2020 akan menguncup antara 5 peratus hingga 7 peratus.

"Kelembapan pasaran buruh mungkin akan berlarutan dan pengambilan pekerja akan melemah manakala syarikat-syarikat pula semakin tertekan untuk memberhentikan pekerja mereka," menurut kenyataan itu lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan