Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemandu khidmat kongsi kereta perlu ambil ujian mingguan COVID-19: LTA

Pemandu yang menawarkan khidmat perkongsian kereta harus menjalani ujian mingguan COVID-19 di bawah pengawasan pusat ujian yang diluluskan Kementerian Kesihatan (MOH) dari 22 Nov, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu khidmat kongsi kereta perlu ambil ujian mingguan COVID-19: LTA

Gambar fail hiasan khidmat Grabhitch. (Gambar: Grab.com)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 10:09PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 10:16PM

SINGAPURA: Pemandu yang menawarkan khidmat perkongsian kereta harus menjalani ujian mingguan COVID-19 di bawah pengawasan pusat ujian yang diluluskan Kementerian Kesihatan (MOH) dari 22 Nov, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

LTA menyatakan di laman webnya bahawa khidmat perkongsian kereta yang ditawarkan melalui pengendali seperti GrabHitch dan RydePool dibenarkan beroperasi semula pada 22 Nov selepas MOH melonggarkan sekatan COVID-19 ketika itu.

Pengendali khidmat perkongsian kereta seperti Grab dan Ryde dikehendaki memastikan pemandu mereka menjalani ujian di pusat ujian yang diluluskan MOH sebelum mereka menawarkan khidmat menerusi platform masing-masing, kata seorang jurucakap LTA kepada Mediacorp pada Selasa (14 Dis).

Penjelasan itu dibuat selepas beberapa pemandu GrabHitch melahirkan rasa kecewa selepas menerima pemberitahuan tentang keperluan baru tersebut pada 9 Dis.

Mereka mempersoalkan sebab mereka perlu mengambil ujian pantas antigen(ART) di bawah pengawasan dan tanpa menerima subsidi pemerintah berbanding kit ART bersubsidi seperti pemandu Lesen Vokasional dan Pemandu Kereta Sewa Privet (PDVL).

"Sebagai sebahagian rejim VoRT/FET-RRT (vaksinasi atau ujian kerap/ujian pantas dan mudah), pemandu khidmat perkongsian kereta yang tidak memegang PDVL akan perlu menjalani ART mingguan tanpa subsidi (sudah divaksin)/dua kali seminggu (tidak divaksin) di salah satu penyedia ujian yang diluluskan MOH dan kongsi hasil ujian mereka bersama Grab," menurut pemberitahuan yang dilihat Mediacorp.

Di bawah aturan itu, pekerja harus mengambil ujian mingguan ART di pusat ujian pantas atau di bawah penyeliaan majikan sama ada secara fisikal atau maya.

Ujian tersebut diberi subsidi Pemerintah.

Sebaliknya, pemandu GrabHitch harus mengambil ART di bawah pengawasan di pusat ujian dengan membayar S$15.

Jurucakap LTA menyatakan Pemerintah memberi keutamaan kepada pekerja barisan hadapan seperti pemandu teksi berlesen, pemandu kereta sewa privet berlesen, kapten bus dan pemandu kereta api untuk menerima kit ujian bersubsidi kerana mereka menyediakan "khidmat penting" kepada orang ramai.

Bagaimanapun, pemandu khidmat perkongsian kereta menurut jurucakap itu, tidak perlu mendapatkan lesen kejuruan, boleh menyediakan sehingga dua perjalanan setiap hari dan tidak perlu bergantung pada khidmat tersebut untuk menyara hidup mereka.

Sumber : CNA/FA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan