Skip to main content

Kewangan

Peluasan Marina Bay Sands bernilai AS$3.3 bilion dijangka siap pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Peluasan Marina Bay Sands bernilai AS$3.3 bilion dijangka siap pada 2026

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 03 Feb 2022 08:14PM Dikemas Kini : 03 Feb 2022 08:53PM

SINGAPORE: Peluasan Marina Bay Sands bernilai AS$3.3 bilion (S$4.4 bilion) dijangka siap pada 2026, setahun selepas tarikh akhir asal pada 2025, menurut syarikat induk Las Vegas Sands.

Kerja-kerja ubah elok bernilai AS$1 bilion (S$1.35 bilion) bagi hotel Marina Bay Sands turut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Las Vegas Sands, Rob Goldstein pada Khamis (27 Jan).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Las Vegas Sands, Patrick Dumont, syarikat itu memutuskan untuk melabur semula dalam hotel tersebut 'sewaktu masa kurang sibuk' ini untuk meningkatkan kualiti bilik suite dan kemudahannya.

Apabila ditanya mengenai gangguan yang ,mungkin berlaku semasa pandemik COVID-19, Encik Goldstein berkata kerja-kerja ubah elok itu "berjalan pada rentak yang sangat baik".

Encik Dumont menambah bahawa kerja-kerja ubah elok mungkin akan mengambil masa selama dua tahun disebabkan oleh bekalan buruh dan bahan-bahan binaan.

YAKIN PADA PEMULIHAN

Menurut Encik Goldstein, syarikatnya yakin dengan peluang jangka panjang di Singapura. Beliau turut menarik perhatian kepada permintaan bagi Skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) sebagai tanda-tanda pemulihan yang positif.

Dengan pasaran sumber penting untuk pelancong dibuka semula, Encik Goldstein menambah bahawa beliau yakin Singapura akan dapat bangkit semula dengan 'lebih kukuh'.

Peluasan dua pusat peranginan bersepadu di Singapura, iaitu Marina Bay Sands dan Resorts World Sentosa diumumkan pada tahun 2019. Peluasan kedua-dua projek ini bernilai
S$9 bilion, dengan hampir dua pertiga daripada pelaburan awal bernilai S$15 bilion pada 2006.

Peluasan Marina Bay Sands bernilai AS$3.3. bilion (S$4.4 bilion) akan merangkumi sebuah arena persembahan, menara keempat yang akan menempatkan kira-kira 1,000 bilik hotel, kemudahan 'sky roof' dengan kolam renang dan sebuah restoran. Terdapat juga sebuah 'ballroom' baru, dewan-dewan pameran dan para peruncit barangan mewah.

Resorts World Sentosa pula akan membangunkan dua daya tarikan baru di Universal Studios Singapore yang diberi nama Taman Minion dan Super Nintendo World, akuarium lebih luas, kompleks gaya hidup di pesisiran dan dua buah hotel baru.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita