Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pejabat Transformasi Digital dilancarkan untuk selaras digitalisasi perniagaan Kg Glam

Para peniaga digalakkan untuk merebut peluang meraih manfaat menyeluruh bagi perniagaan mereka menerusi digitalisasi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah Pejabat Transformasi Digital Kampong Gelam (KGDTO) dilancarkan Menteri Perhubungan dan Penerangan, S Iswaran hari ini (30 Okt) untuk menyelaras usaha digitalisasi perniagaan-perniagaan di sekitar Kampong Gelam.

Sempena pelancaran pejabat tersebut, tiga inisiatif baru - iaitu ShopBack, Dei dan MC Payment dengan tujuan merancakkan perniagaan - juga diumumkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Ini adalah fasa kedua pelancaran inisiatif-inisiatif baru yang dipimpin dan dijalankan oleh DPPMS. Projek digitalisasi Kampong Gelam itu dimulakan dengan lima inisiatif baru pada bulan Julai tahun lalu.

Ia disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dengan kerjasama One Kampong Gelam (OKG) dan Enterprise Singapore.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan Kampong Gelam sebuah presint digital yang memudahkan pelanggan tempatan mahupun luar negara serta para peniaga memanfaatkan sepenuhnya wadah-wadah digital.

Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

230 PENIAGA SUDAH MANFAAT TEKNOLOGI DIGITAL

Sejauh ini 230 perniagaan atau sekitar sepertiga daripada 600 perniagaan di sekitar Kampong Gelam sudah mendakap perubahan digital itu.

DPPMS, dalam usahanya untuk mewujudkan kawasan Kampong Gelam yang mesra digital, berharap jumlah itu akan bertambah kepada sekurang-kurangnya separuh - iaitu satu daripada setiap dua perniagaan di Kampong Gelam - yang akan dilengkapi kemudahan-kemudahan digital menjelang hujung tahun depan.

Para peniaga digalakkan untuk merebut peluang meraih manfaat menyeluruh bagi perniagaan mereka menerusi digitalisasi.

Salah satu inisiatif baru yang dilancarkan hari ini adalah portal e-niaga, Dei, yang 'membawa' kedai-kedai di Kampong Gelam ke wadah online.

Lebih dari sekadar laman membeli belah, wadah sehenti itu turut menyediakan maklumat seperti latar belakang satu-satu kedai, produk-produk mereka dan kegiatan-kegiatan di sekitar kawasan tersebut.

"Kami cuba untuk menyatukan semua elemen itu. Ia adalah ruang digital untuk masyarakat. Hari ini jika anda mencari maklumat tentang Kampong Gelam, anda perolehinya daripada sumber berbeza-beza. Tetapi esok, apabila anda mencari tentang Kampong Gelam, anda akan dapat maklumat daripada satu wadah," kata Ketua Eksekutif Dei Holdings, Jay Varman.

DEI! PENDAPATAN NAIK SEHINGGA 35%

Menerusi portal 'Dei' pendapatan perniagaan dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus dalam tiga bulan pertama.

Sasarannya adalah untuk membantu para peniaga meraih sehingga 35 peratus pendapatan online menjelang hujung tahun ini.

Wadah itu terlebih dahulu sudah dijalankan bagi perniagaan-perniagaan di presint Little India dan menunjukkan hasil memberangsangkan. Misalnya, pendapatan online perniagaan-perniagaan di sana kini sudahpun melepasi 20 peratus.

Malah, wadah itu menawarkan khidmat penghantaran ke rumah pada hari yang sama dan juga penghantaran ke luar negara. Ini bermakna, ruang untuk para peniaga memasarkan produk mereka menjadi lebih luas.

Ini diharap menjadi antara faktor yang dapat memancing minat para peniaga Kampong Gelam untuk memanfaatkan portal Dei.

Ketua Eksekutif Dei Holdings, Jay Varman.

SHOPBACK - BELANJA TAPI BERPELUANG DAPAT BALIK DUIT

Lagi dua wadah digital baru adalah platform 'ShopBack', di mana pembeli diberi pulangan tunai setiap kali berbelanja. Para pelanggan yang berbelanja sebanyak $120 di kedai-kedai F&B tertentu menggunakan promosi-promosi yang ditawarkan aplikasi itu, berpeluang menang wang tunai sehingga $120.

Selain itu, wadah 'MC Payment' juga diperkenalkan. Ia merangkumi beberapa kaedah pembayaran seperti WeChat Pay dan Tencent. Kaedah pembayaran tanpa tunai itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong dan memudahkan mereka.

DPPMS turut memperdalam penggunaan aplikasi seperti GrabPay, dengan membantu para peniaga meluaskan jangkauan pelanggan menerusi promosi atau potongan harga di bawah 'GrabPay Deals' atau GrabRewards.

HABIB CRAFTS - ANTARA KEDAI YANG SUDAH RAIH MANFAAT, URUS NIAGA NAIK 60%

Salah satu perniagaan yang sudah meraih manfaat daripada penggunaan pelbagai kaedah pembayaran adalah kedai Habib Crafts yang sudah berniaga di kawasan Kampong Gelam selama 65 tahun. Perniagaan itu kini dijalankan oleh Cik Sabia d/o Anwardeen dan adik beradiknya - generasi ketiga keluarga mereka.

Pada awalnya mereka agak keberatan untuk menukar cara urus niaga dijalankan, dek terbiasa dengan pembayaran tunai sahaja.

Namun, setelah mencuba kaedah pembayaran seperti AliPay dan GrabPay, mereka akur kesan positifnya ke atas perniagaan mereka.

Malah, perniagaan syarikat itu naik 60 peratus sejak memanfaatkan kaedah pembayaran baru itu.

"Bila kami sediakan AliPay, ramai yang gembira. 'Oh anda ada AliPay' dan mereka bukan setakat beli satu. Mereka beli lebih kerana mereka tahu mereka boleh bayar guna AliPay. Mereka bukan beli barang S$10 sahaja tetapi sehingga S$100," menurut Cik Sabia, yang kedainya terletak di Bussorah Street.

Cik Sabia d/o Anwardeen - pemilik generasi ketiga Habib Crafts.

Kedai Habib Crafts adalah antara 55 perniagaan yang akan memasarkan produk mereka menerusi wadah Dei.

"Saya berharap untuk bekerjasama dengan mereka untuk membantu kami bersedia bagi masa hadapan. Perniagaan ini sudah masuk generasi ketiga dan saya tidak boleh hanya duduk dan menanti nasib menyebelahi saya. Jadi saya dan adik-adik saya perlu memandang ke hadapan," tambah Cik Sabia.

Antara perniagaan lain yang akan disenaraikan di laman Dei termasuk Konditori, Fika Cafe & Bistro, Hijabville dan Kampong Glam Cafe.

MANFAAT PEJABAT TRANSFORMASI DIGITAL KAMPONG GELAM

Bagi perniagaan yang sudah dijalankan secara tradisional berdekad-dekad lamanya, perubahan kepada digitalisasi boleh dilihat sebagai 'agak mencabar'.

Oleh itu, Pejabat Transformasi Digital Kampong Gelam (KGDTO) ditubuhkan untuk membantu menyelaras dan memudahkan proses-prosesnya. DPPMS adalah dewan perniagaan pertama menerajui penubuhan sebuah presint digital seperti itu.

Antara objektif KGDTO adalah untuk memacu digitalisasi di presint Kampong Gelam, mengenal pasti teknologi-teknologi baru dan sedia ada dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk berinovasi dan melaksanakannya di kawasan itu.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah.

Ini di samping mendidik dan melatih para peniaga Kampong Gelam agar teknologi-teknologi yang ada digunakan sepenuhnya dan sentiasa diperkukuh.

"Ini penting sebab ia boleh memainkan peranan sebagai satu pusat untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan menyediakan sumber-sumber supaya membantu syarikat-syarikat kami dalam perjalanan digital mereka.

"Saya harap contoh ini di Kampong Gelam dan di lain kawasan di Singapura akan menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat di Singapura untuk menggunakan huraian-huraian digital," kata Encik S Iswaran.

GEYLANG SERAI PULA AKAN JALANI DIGITALISASI SELEPAS KG GLAM

DPPMS kini berharap untuk meluaskan juga usaha itu kepada dewan-dewan perniagaan lain dan di presint-presint lain termasuk Geylang Serai yang dijangka bermula sekitar awal tahun 2021.

Pasar Geylang Serai. (Gambar: http://tanjongkatongcomplex.com)

Menurut Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah, kawasan di sekitar Geylang sudah begitu pesat membangun dengan pelbagai kemudahan-kemudahan baru. Jadi, dengan projek digitalisasi itu diluaskan ke sana, ia dapat membantu perniagaan-perniagaan Melayu berkembang maju seiring dengan perubahan dan perkembangan digital.

"Kami tahu bahawa banyak perniagaan-perniagaan Melayu ada di Geylang Serai. Jadi misi dewan adalah untuk menolong perniagaan-perniagaan dalam masyarakat kami.

"Matlamat kami adalah untuk membawa landasan-landasan digital ini, inisiatif ini ke daerah lain yang seperti dikatakan mungkin di Geylang Serai, Tanjong Katong, Joo Chiat di mana ada juga perniagaan-perniagaan yang mereka belum lagi gunakan landasan digital," kongsi Encik Azrul. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan