Skip to main content

Kewangan

PayNow SG dihubungkan dengan UPI India bagi pembayaran rentas sempadan masa nyata

Singapura dan India pada Selasa (21 Feb) melancarkan pautan masa nyata bagi memudahkan pindahan dana rentas sempadan antara akaun bank atau e-dompet, menggunakan telefon bimbit.

Anggaran Waktu Membaca:
PayNow SG dihubungkan dengan UPI India bagi pembayaran rentas sempadan masa nyata

(Gambar: CNA/ Twitter/UPI_NPCI)

Diterbitkan : 21 Feb 2023 07:50PM

SINGAPURA: Singapura dan India pada Selasa (21 Feb) melancarkan pautan masa nyata bagi memudahkan pindahan dana rentas sempadan antara akaun bank atau e-dompet, menggunakan telefon bimbit.

Kini khidmat sedemikian boleh dilakukan di bawah kerjasama antara kemudahan PayNow Singapura dengan Unified Payments Interface (UPI) India.

Pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian boleh memindahkan wang mereka dengan hanya menggunakan nombor telefon bimbit mereka, identiti UPI atau alamat pembayaran maya.

"Penghubungan itu menawarkan cara yang selamat, mudah dan cekap untuk membuat pindahan wang rentas sempadan," menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan media.

Di Singapura, khidmat itu akan ditawarkan secara berperingkat kepada pelanggan DBS dan syarikat teknologi kewangan Liquid Group.

Sebagai permulaan, para pelanggan DBS terpilih kini boleh membuat pindahan wang sehingga S$200 bagi setiap urus niaga, dihadkan pada S$500 setiap hari. Menjelang 31 Mac, khidmat itu akan ditawarkan kepada semua pelanggan DBS, yang boleh membuat pindahan wang sehingga S$1,000.

Di India, empat bank - State Bank of India, Indian Overseas Bank, Indian Bank dan ICICI Bank - dapat memudahkan pindahan wang keluar masuk sebagai permulaan, sementara Axis Bank dan DBS India dapat menawarkan pemindahan wang masuk.

Seorang pengguna di India boleh memindahkan wang sehingga 60,000 rupee (S$970) setiap hari sebagai permulaan.

Penghubungan sistem pembayaran itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya Narendra Modi dalam satu acara maya.

Bayaran runcit dan pindahan wang rentas sempadan antara India dengan Singapura kini membentuk lebih AS$1 bilion (S$1.3 bilion) setiap tahun, kata PM Lee.

"Penghubungan PayNow-UPI akan menawarkan bayaran runcit dan pindahan wang rentas sempadan yang lebih murah, cepat dan selamat, bagi perniagaan dan individu, secara langsung daripada akaun bank atau e-dompet," katanya.

"Sedang kita secara bertahap-tahap menambah lebih ramai pengguna dan kes penggunaan, penghubungan PayNow-UPI akan berkembang dari segi kegunaannya dan menyumbang lebih banyak untuk memudahkan perdagangan dan kaitan individu ke individu."

Encik Modi menarik perhatian bahawa penghubungan itu akan membantu para pekerja hijrahan, karyawan, pelajar dan keluarga mereka.

"Ini akan membolehkan penduduk dari kedua-dua negara untuk segera membuat pindahan wang pada kos rendah dengan hanya menggunakan telefon bimbit mereka," katanya.

"PERISTIWA PENTING PALING BESAR"

MAS menyatakan penghubungan PayNow-UPI itu merupakan sistem pembayaran masa nyata yang pertama di dunia yang menggunakan prasarana berasaskan awan berskala yang dapat menampung kenaikan dalam jumlah trafik kiriman wang di masa hadapan.

Bersama dengan Bank Rizab India (RBI), ia akan menyemak dan secara berperingkat menambah jumlah institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita