'Pasukan impian' Danantara terdiri daripada mantan presiden, pakar ekonomi & Thaksin Shinawatra
Dana baharu pemerintah Indonesia, Danantara, melancarkan pada Isnin (24 Mac) apa yang disifatkan sebagai "pasukan impian" untuk melakar strateginya, termasuk mantan presiden serta peranan penasihat untuk pengurus dana lindung nilai Ray Dalio, pakar ekonomi Jeffrey Sachs dan mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra.

(Dari kiri) Mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo, ahli ekonomi Amerika Syarikat Jeffrey Sachs, dan mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. (Gambar fail: AFP/Aditya Aji, Reuters/Max Rossi, Reuters/Athit Perawongmetha)
Danantara, yang dilancarkan bulan lalu, adalah wadah utama Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonominya sebanyak 8 peratus menjelang 2029, dengan menguruskan semua saham perusahaan milik pemerintah dan melabur semula dividen dalam projek-projek komersial.
Dana itu akhirnya dijangka akan menguruskan aset bernilai lebih AS$900 bilion dan telah disifatkan oleh para pegawai sebagai Temasek Holdings versi Indonesia.
Mantan Presiden Indonesia Joko Widodo dan Susilo Bambang Yudhoyono dinamakan sebagai ahli jawatankuasa panduan dana itu, manakala Encik Dalio, pengasas dana lindung nilai terbesar di dunia Bridgewater, akan memegang peranan sebagai penasihat bersama Encik Thaksin, hartawan yang menghabiskan 15 tahun hidup dalam buangan bagi mengelakkan diri daripada dipenjarakan kerana menyalahgunakan kuasa dan adalah bapa kepada Perdana Menteri Thailand sekarang ini, Cik Paetongtarnawa.
Reuters tidak dapat menghubungi Encik Jokowi dan Encik Yudhoyono untuk mendapatkan komen, manakala wakil Bridgewater dan Encik Thaksin tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.
Laporan media turut menyebut mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair juga akan menjadi penasihat kepada Danantara. Apabila ditanya sama ada Encik Blair akan menyertainya, Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Rosan Roeslani hanya berkata bahawa dana itu akan mengumumkan lebih banyak nama tidak lama lagi.
Encik Sachs dalam emelnya memberitahu Reuters bahawa beliau telah dilantik sebagai penasihat khas Encik Prabowo.
Para pengarah Danantara termasuk mantan pegawai dari bank-bank seperti Bank Mandiri dan HSBC, mantan pengarah di bank pusat Indonesia, serta mantan ketua pegawai pelaburan Indonesia Investment Authority (Lembaga Pengelola Investasi), iaitu dana kekayaan negara yang pertama bagi Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.