Skip to main content

Kewangan

Pasukan eksekutif tumpu pada operasi domestik dalam fasa baharu syarikat: CEO SingPost

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan eksekutif tumpu pada operasi domestik dalam fasa baharu syarikat: CEO SingPost
CEO Singapore Post Mark Chong (kiri). (Gambar: SingPost, iStock)
 
Diterbitkan : 10 Nov 2025 05:07PM Dikemas Kini : 10 Nov 2025 05:08PM
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) akan menumpukan perhatian kepada operasi domestik dan perniagaan terasnya termasuk e-dagang sementara menanti selesainya semakan strategik untuk syarikat itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik, Mark Chong, pada hari Isnin (10 Nov).

"Mungkin ada minat atau soalan mengenai rancangan atau strategi saya pada masa hadapan. Saya rasa saya masih baharu dalam jawatan ini, kami masih menjalankan semakan itu," katanya semasa taklimat media mengenai keputusan SingPost untuk separuh pertama tahun kewangannya.

Encik Chong menyertai syarikat itu pada 1 November. Beliau menyatakan bahawa syarikat itu sudah membuat pengumuman mengenai pelupusan aset baru-baru ini dan perubahan struktur termasuk menggabungkan operasi antarabangsa dan domestik menjadi satu unit.

"Pasukan itu mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan sekarang untuk memastikan kestabilan dalam perniagaan... untuk tempoh terdekat, kami akan menumpukan pada perniagaan teras, meningkatkan kecekapan operasi kami," katanya.

Pasukan kepimpinan SingPost sudah melalui beberapa perubahan dalam tempoh setahun yang lalu, dengan tiga eksekutif kanan dipecat selepas didapati "cuai teruk", dan lima lagi meninggalkan syarikat di tengah-tengah proses penyusunan semula struktur.

Penstrukturan semula pada Februari lalu menyebabkan 45 pekerja diberhentikan, kebanyakannya dari unit sokongan korporat.

SingPost juga melantik pengerusi lembaga pengarah baharu pada Mei.

Ditanya tentang bagaimana perubahan kepimpinan menjejas perniagaan atau keyakinan, Encik Chong berkata syarikat itu kini membuka "babak baharu dalam sejarah SingPost".

"Apa yang anda lihat adalah pasukan pengurusan baharu di hadapan anda," katanya. Pelupusan unit di luar negara membantu kedudukan kewangan SingPost agar ia boleh meneroka pilihan lain.

"Kami akan menumpukan pada operasi domestik buat masa ini, melihat mutu perkhidmatan, dan menjadi berdaya saing dalam industri yang mencabar," katanya.

Pada Isnin, SingPost mengumumkan bahawa keuntungan bersihnya untuk separuh pertama tahun kewangannya jatuh 17.1 peratus berbanding tahun lalu, manakala hasil jatuh 27.4 peratus.

PELUANG DALAM E-DAGANG

Pada masa akan datang, e-dagang kekal sebagai pemacu pertumbuhan bagi perniagaan logistik SingPost.

Ketua Pegawai Operasi Neo Su Yin menyatakan bahawa syarikat itu melabur S$30 juta untuk mengembangkan keupayaan mereka dalam menyusun bungkusan kecil.

"Kami tidak akan membuat jumlah pelaburan ini jika kami tidak nampak bahawa terdapat peluang berterusan untuk berkembang dalam bidang ini," katanya.

Kemudahan itu akan memberikan kelebihan kepada SingPost, tambahnya.

"Memandangkan Singapura adalah pasaran yang sangat mencabar dari segi tenaga kerja, automasi akan menjadi pemacu penjimatan kos yang besar bagi kami, serta meningkatkan produktiviti kami," kata Cik Neo.

Walaupun terdapat cabaran dalam e-dagang rentas sempadan - yang menyaksikan penurunan 63 peratus dalam jumlah penghantaran tahun ke tahun - angka tersebut terus berkembang di peringkat domestik.

SingPost menyatakan ia berhasrat untuk memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan dan mutu perkhidmatan untuk perniagaan e-dagangnya.

Pejabat pos juga akan menjadi sebahagian daripada rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan, kata Cik Neo.

Beliau menambah SingPost akan melihat pejabat pos sebagai sebahagian daripada semakan strategik keseluruhannya, dan menyatakan bahawa selain pejabat pos, syarikat itu mempunyai loker dan kerjasama dengan kedai serbaneka Cheers, untuk mengembangkan rangkaian dan memberikan kemudahan kepada pelanggan.

Dalam kemas kini suku pertama, SingPost menyatakan ia memulakan pelupusan sekali sahaja bagi 10 rumah kedai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) secara jualan dan beli balik pajakan.

"Apabila kami menawarkan 10 HDB untuk pelupusan, niatnya adalah kami akan terus mengendalikan 10 pejabat pos tersebut," katanya.

Unit-unit itu dilaporkan sudah dijual kepada pengerusi Union Gas.

SingPost juga menjual perniagaan Australianya, Freight Management Holdings, dengan harga AS$504 juta.

"Kami masih memiliki beberapa operasi di rantau ini, dan kami sedang dalam proses menjualnya sekarang juga," kata Ketua Pegawai Kewangan Isaac Mah, sambil menambah syarikat itu sudah melupuskan tiga perniagaan dan sedang dalam proses menutup usaha sama dengan Alibaba.

"Sebaik sahaja itu selesai, kami akan memberi tumpuan kepada mengatur aset portfolio kami, meletakkan kedudukan kami untuk pertumbuhan masa depan," katanya.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita