Skip to main content

Kewangan

Pasaran IPO SG semakin pulih, lebih banyak penyenaraian dijangkakan pada separuh kedua 2026

Di atas kertas, Bursa Singapura (SGX) dilihat ketinggalan berbanding pasaran tawaran awam awal (IPO) yang rancak di seluruh Asia pada 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran IPO SG semakin pulih, lebih banyak penyenaraian dijangkakan pada separuh kedua 2026

Bangunan SGX di Shenton Way. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 07 Sep 2026 08:07AM
  • Bursa Singapura (SGX) sedang menunjukkan pemulihan dalam pasaran IPO walaupun masih ketinggalan dari segi jumlah penyenaraian berbanding Hong Kong dan Malaysia pada 2026.
  • Langkah seperti program pembangunan pasaran ekuiti, pemudahan peraturan, dan pengurangan saiz lot saham telah mula membuahkan hasil, meningkatkan minat pelabur dan syarikat.
  • Penganalisis menekankan perbezaan struktur pasaran antara negara, dengan Singapura menonjol dalam penyenaraian bernilai tinggi walaupun jumlahnya kecil.
  • Singapura dijangka terus menarik penyenaraian berkualiti, namun masih perlu memperkukuh prestasi saham selepas penyenaraian dan membina keyakinan pelabur.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Di atas kertas, Bursa Singapura (SGX) dilihat ketinggalan berbanding pasaran tawaran awam awal (IPO) yang rancak di seluruh Asia pada 2026. Namun para penganalisis berkata jurang yang dilihat itu tidak mencerminkan pemulihan sebenar yang sedang berlaku di Bursa Singapura (SGX).

Dengan lebih banyak IPO dijangka akan disenaraikan pada separuh kedua 2026, mereka berkata langkah-langkah yang diperkenalkan sejak 2025, seperti program pembangunan pasaran ekuiti dan peraturan penyenaraian yang dipermudahkan, akan membantu merancakkan pasaran.

“Kita perlu terus menelitinya dan mengekalkan momentum kerana kita sedang cuba menghidupkan enjin yang sudah lama tidak bergerak. Enjin itu belum bergerak,” kata Ketua Perbankan Pelaburan Global DBS Clifford Lee.

Bursa-bursa Asia seperti Hong Kong dan Malaysia mencatat prestasi kukuh setakat tahun ini. Malaysia mendahului pasaran IPO Asia Tenggara pada separuh pertama 2026, dengan meraih AS$1.3 bilion (S$1.65 bilion) menerusi 36 penyenaraian, termasuk Sunway Healthcare Holdings.

Sunway Healthcare di Malaysia dan amanah pelaburan hartanah UI Boustead di Singapura membentuk dua daripada tiga penyenaraian utama di Asia Tenggara, masing-masing meraih lebih AS$500 juta (S$633.40 juta) pada separuh pertama 2026.

Pada separuh pertama 2026, Hong Kong mencatat 85 IPO yang meraih sekitar HK$210.4 bilion (S$33.95 bilion). Ini termasuk penyenaraian pengeluar papan litar bercetak China, Victory Giant Technology, yang merupakan antara IPO terbesar di dunia tahun ini.

Pada Julai, Bursa Saham Hong Kong turut memudahkan syarikat-syarikat untuk disenaraikan, dengan melonggarkan syarat bagi firma-firma yang mempunyai struktur saham dwikelas dan memperluas akses kepada pemfailan IPO secara sulit.

Berlatarbelakangkan keadaan tersebut, SGX telah mencatat lapan penyenaraian setakat tahun ini.

Para penganalisis berkata meskipun terdapat perbezaan, SGX sedang mencatat antara tahun terbaiknya, bukan sahaja dari segi jumlah IPO berbanding tahun-tahun sebelumnya, malah nilai penyenaraiannya.

Laporan sebelum ini menyatakan SGX menepati sasaran untuk mencatat hampir 30 penyenaraian pada 2026, selepas hasil IPO mencecah paras rekod pada 2025.

Encik Lee berkata Singapura mempunyai segala yang diperlukan untuk menarik lebih banyak IPO, sambil merujuk kepada peraturan cukai negara, ketelusan serta penarafan (rating) kredit AAA.

Menurut Encik Lee, SGX mencatat beberapa IPO dan penempatan saham baharu pada 2025. Beliau berkata sekiranya keadaan pasaran kekal stabil, jumlah IPO di Singapura pada tahun ini boleh meningkat beberapa kali ganda berbanding tahun lalu.

Singapura mencatat sekitar empat hingga lima penyenaraian setahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan penyenaraian baharu hanya mula meningkat sejak 2025, kata Ketua Penyelidikan Ekuiti OCBC Carmen Lee.

Berdasarkan corak sejarah Singapura, 2025 dan 2026 dianggap sebagai tahun yang “kukuh” berbanding jumlah IPO yang rendah antara 2022 dengan 2024, kata Cik Lee. SGX mencatat empat IPO pada 2024, jumlah terendah dalam tempoh lebih sedekad.

“Kami melihat ini sebagai trend yang sihat dan minat dijangka meningkat sekiranya minat terhadap saham bermodal kecil dan sederhana terus bertambah,” kata beliau.

Penolong Profesor Goh Jing Rong, yang mengajar subjek ekonomi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata penyenaraian di Singapura tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan menjadi perlahan.

Beliau berkata pasaran IPO Singapura dicirikan oleh jumlah penyenaraian yang kecil tetapi bernilai tinggi.

Penyenaraian di Singapura pada separuh pertama 2026 sahaja sudah meraih AS$868 juta (S$1.1 bilion) menerusi hanya lima syarikat – amanah pelaburan hartanah UI Boustead, Toku, The Assembly Place, Kin Global dan JustCo Holdings, tambah beliau.

Namun Singapura masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi saham selepas penyenaraian, kata Penolong Profesor Goh, sambil menyatakan bahawa penyenaraian di SGX pada 2026 belum mencatat kenaikan yang berterusan selepas kemunculan sulungnya.

“Ini satu petunjuk utama yang perlu diberi perhatian kerana prestasi lemah selepas penyenaraian lazimnya menjadi salah satu faktor utama yang menghambat penerbit berpotensi pada masa depan.”

LANGKAH BAHARU MULA MEMBUAHKAN HASIL

Ketua Pasaran Modal Ekuiti UOB Mark Wee berkata pasaran Singapura meraih manfaat daripada usaha bersasar dan proaktif oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), SGX serta industri lebih luas untuk memperdalam dan memperkukuh ekosistem ekuiti.

Ini termasuk inisiatif seperti program pembangunan pasaran ekuiti, tambah beliau.

Program bernilai S$5 bilion (S$6.33 bilion) yang dilancarkan MAS itu melibatkan penyaluran dana kepada pengurus dana yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam saham Singapura.

“Usaha-usaha ini sudah mula membuahkan hasil dan kami kekal positif terhadap prospek pasaran IPO dan ekuiti Singapura,” kata Encik Wee.

Selain inisiatif untuk menarik modal dan kegiatan pengurusan dana, Singapura juga berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan beberapa trend struktur, termasuk pertumbuhan ASEAN dan peningkatan kekayaan swasta di Asia, tambah beliau.

Encik Wee berkata bank melihat aliran bakal penerbit yang sihat serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap Singapura sebagai hab untuk mendapatkan modal.

Pada Mei, Singapura meluluskan undang-undang bagi membolehkan syarikat disenaraikan serentak di Bursa Singapura (SGX) dan bursa saham Amerika Syarikat, Nasdaq, selain mempermudah proses dokumentasi. SGX sebelum ini menyatakan rancangan untuk menghubungkan penyenaraian dwinya dengan Nasdaq boleh dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan, dengan penyenaraian pertama dijangka pada separuh kedua tahun ini.

Mulai 5 Oktober, saiz lot standard akan dikurangkan daripada 100 unit kepada 10 unit bagi instrumen berharga lebih S$10 hingga S$100, sekali gus memudahkan para pelabur mengakses pasaran saham Singapura.

“Selain langkah-langkah yang sedang dilaksanakan, keadaan pasaran sekarang juga amat sesuai,” kata Encik Lee dari DBS, sambil menyatakan bahawa dengan ketidaktentuan pasaran dan ketegangan geopolitik di seluruh dunia, para pelabur, syarikat dan penerbit perlu mula mempelbagaikan pelaburan mereka.

Dari sudut mata wang, dolar Singapura sangat menarik dan dilihat sebagai mata wang selamat, kata Encik Lee.

“Sekarang, terdapat banyak kecairan yang mencari aset untuk dilaburkan. Jadi, keperluan untuk membawa aset dan terbitan ke Bursa Singapura … kini jauh lebih mendesak berbanding sebelum ini.”

Singapura juga merupakan pusat yang berkecuali dan semua peraturannya ditulis dalam bahasa Inggeris, tambah beliau.

Sekiranya sesebuah perniagaan tidak mempunyai tumpuan besar di hab-hab kewangan utama seperti Amerika Syarikat, China atau Eropah dan mahu disenaraikan di sebuah “tempat yang berkecuali”, Singapura menjadi pilihan yang sangat berdaya maju, kata Encik Lee.

Menurut beliau, ini juga menjelaskan mengapa syarikat-syarikat dari negara-negara lain di Asia Tenggara, yang pasarannya kini “agak tidak menentu”, mahu disenaraikan di Singapura, terutamanya jika mereka merupakan perniagaan antarabangsa.

“Kita baru sahaja mula menggerakkan semula pasaran selepas bertahun-tahun tidak banyak berubah. Kini sudah ada kemajuan dan langkah awal yang diambil menggalakkan, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.”

JURANG DENGAN HONG KONG DAN MALAYSIA

Walau apa pun, pasaran tidak boleh dibandingkan semata-mata berdasarkan jumlah penyenaraian setiap tahun. Para penganalisis menekankan bahawa terdapat perbezaan struktur antara pasaran yang menyebabkan perbandingan secara langsung sukar untuk dilakukan.

Mereka berkata perbezaan tersebut tidak dapat ditangani menerusi peraturan semata-mata.

Sebagai contoh, Malaysia mempunyai kelompok perusahaan kecil dan sederhana (SME) domestik yang besar, manakala asas syarikat domestik Singapura lebih kecil kerana jumlah penduduknya juga lebih kecil, kata Penolong Profesor Goh dari SMU.

“Anda tidak boleh sekadar mewujudkan lebih ramai calon penyenaraian menerusi peraturan,” tambah beliau.

Hong Kong pula mempunyai aliran kukuh yang merangkumi syarikat-syarikat dari tanah besar China, termasuk syarikat-syarikat yang sudah disenaraikan di bursa saham Shanghai atau Shenzhen dan mahu mendapatkan penyenaraian tambahan di Hong Kong bagi mengakses modal antarabangsa, menurut Penolong Profesor Goh.

Beliau menambah bahawa Indeks Straits Times dikuasai oleh bank dan amanah pelaburan hartanah, dengan para pelaburnya lebih mengutamakan pendapatan, berbanding syarikat ekuiti pertumbuhan peringkat awal yang menjadi antara kekuatan pasaran penyenaraian Hong Kong.

Singapura akan berdepan cabaran untuk merapatkan jurang jumlah penyenaraian dengan Hong Kong disebabkan oleh faktor-faktor struktur tersebut. Namun, Singapura masih mempunyai potensi besar untuk menarik penyenaraian berkualiti, kata Penolong Profesor Goh, sambil merujuk kepada langkah-langkah baharu yang diperkenalkan.

“Secara peribadi, saya tidak fikir Singapura perlu menyamai hasil IPO atau jumlah penyenaraian Hong Kong,” tambah beliau, sambil menyatakan bahawa skala penyenaraian Hong Kong mencerminkan peranan uniknya sebagai pasaran modal antarabangsa bagi syarikat dari tanah besar China, dan bukan penanda aras yang realistik bagi Singapura.

“Skala Hong Kong mungkin kelihatan lebih mengagumkan, tetapi ia berkemungkinan lebih sensitif terhadap perubahan dasar dan sentimen para pelabur.”

Singapura belum mempunyai rekod prestasi yang kukuh dan perlu membina lebih banyak keyakinan terhadapnya, kata Encik Lee, sambil menyatakan bahawa keterbukaan pasaran bukan faktor yang membataskan pertumbuhan.

Dengan keyakinan lebih tinggi dalam kalangan penerbit dan pelabur, IPO di Singapura akan dapat meraih manfaat daripada asas pelaburan yang lebih luas, yang seterusnya akan menjana lebih banyak permintaan dan memperdalamkan pasaran, tambah beliau.

Encik Lee berkata isu-isu semasa seperti kekurangan sokongan selepas penyenaraian atau terdapatnya kecairan tetapi tidak cukup pilihan untuk dilaburkan boleh ditangani apabila keyakinan terhadap pasaran semakin meningkat.

“Seluruh pasaran sedang berusaha untuk memastikan dan menggalakkan perkara itu, serta melihat apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperluas asas pelabur dan penyertaan supaya pasaran menjadi lebih mendalam. Apabila pasaran sudah cukup kukuh, kita tidak lagi perlu terus memacunya dan ia akan berkembang dengan sendirinya.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita