Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pasaran en bloc mungkin bangkit semula sedang pemaju kumpul simpanan tanah: Pengamat

Pasaran penjualan kolektif yang agak malap mungkin akan bangkit semula pada separuh kedua tahun depan, sedang para pemaju beralih tumpuan ke kediaman privet untuk memenuhi permintaan meningkat untuk tanah, menurut para penganalisis hartanah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran en bloc mungkin bangkit semula sedang pemaju kumpul simpanan tanah: Pengamat

Perumahan HDB dan privet di S'pura (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 Dec 2020 03:24PM Dikemas Kini : 19 Dec 2020 03:28PM

SINGAPURA: Pasaran penjualan kolektif yang agak malap mungkin akan bangkit semula pada separuh kedua tahun depan, sedang para pemaju beralih tumpuan ke kediaman privet untuk memenuhi permintaan meningkat untuk tanah, menurut para penganalisis hartanah.

Ini sedang pasaran hartanah kekal berdaya tahan di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi yang menyusul, kata para penganalisis.

Sejauh ini hanya dua tawaran en bloc bernilai S$77.2 juta secara keseluruhan dicatatkan tahun ini, menurut Encik Wong Xian Yang, pengarah bersekutu bagi penyelidikan di firma hartanah Cushman & Wakefield.

Bagaimanapun, pada November, Roxy-Pacific Holdings membelanjakan S$93 juta untuk 15 rumah teres di kawasan Guillemard Road, urus niaga kediaman privet yang terbesar tahun ini.

Beberapa hari kemudian, sebuah konsortium memperolehi sebidang tanah dengan 11 rumah berhampiran Haig Road dengan harga S$32.8 juta.

Jumlahnya kecil berbanding kemuncak pasaran en bloc pada 2017 dan 2018, apabila nilai urus niaga masing-masing mencapai S$8.3 bilion dan S$10.3 bilion, kata Encik Wong.

Namun, ia mungkin membayangkan lebih banyak urus niaga di masa akan datang, dengan para penganalisis merujuk kepada beberapa tanda kebangkitan penjualan kolektif dalam satu atau dua tahun mendatang.

INVENTORI MEROSOT GESA PEMAJU TAMBAH SIMPANAN TANAH: PAKAR

Pertama, pemaju hampir kehabisan simpanan tapak hartanah, kata para penganalisis.

"Inventori yang belum terjual terus jatuh dan kini berjumlah 26,600 unit pada suku ketiga 2020," kata Encik Wong.

"Permulaan kitaran en bloc sebelumnya adalah pada 2Q 2016, apabila inventori susut kepada 23,300 unit ... Ia boleh dianggap sebagai penanda aras apabila pemaju akan mula mencari tapak tanah," katanya.

Selain itu, banyak pelancaran sekarang adalah dari kitaran en blok sebelum ini pada 2017 hingga 2018, kata Profesor Sing Tien Foo, pengarah Institut Pengajian Hartanah dan Bandar di Universiti Nasional Singapura.

Para pemaju mesti habis menjual projek-projek mereka dalam masa lima tahun untuk mendapatkan kembali sebahagian daripada cukai setem yang mereka bayar. Ini bermakna tarikh akhir mereka adalah sekitar 2022 atau 2023, katanya.

Prof Sing menambahkan bahawa ini bererti pemaju perlu mula mengumpulkan simpanan tanah mereka untuk merancang projek masa depan, dan penjualan secara kolektif adalah "cara pantas" untuk melakukannya.

Para pakar juga menarik perhatian bahawa tender baru-baru ini di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) mendapat sambutan hangat, seperti plot di Tanah Merah Kechil Link yang menarik 15 orang pembida.

Ketua penyelidikan Huttons Asia, Lee Sze Teck pula berkata, pemaju mungkin juga beralih ke pasaran penjualan kolektif untuk lebih banyak "kepelbagaian" lokasi, memandangkan tapak-tapak di bawah GLS "agak tertumpu di beberapa kawasan".

KEMUNGKINAN KENAIKAN HARGA TANAH

Walaupun ini merupakan berita baik bagi pemilik yang ingin menjual, kebangkitan semula pasaran en bloc juga boleh menaikkan harga tanah dan hartanah secara amnya, kata para penganalisis.

Encik Lee menjelaskan, pihak pemaju perlu menarik pemilik hartanah sedia ada untuk menjual menerusi en bloc dengan menawarkan harga lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Ini akan menambah kos keseluruhan, menyebabkan pemaju meletak harga lebih tinggi untuk unit-unit apabila projek baru dilancarkan.

Prof Sing pula berkata: "Pembangunan baru juga mungkin menarik lebih banyak kemudahan ke satu kawasan, yang menyebabkan lebih ramai orang berpindah ke sana dan kemudian meningkatkan permintaan dan harga untuk satu lokasi."

Berikutan itu, pemilik dari projek pembangunan lain mungkin merujuk kepada harga jualan yang lebih tinggi ini ketika mereka memilih untuk menjual kembali unit mereka atau menjual secara en bloc, menyebabkan kitaran kenaikan harga, jelas Encik Wong dari Cushman & Wakefield.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan