Skip to main content

Kewangan

Pasaran buruh S'pura tunjuk tanda pemulihan; kadar pengangguran jatuh 2 bulan berturut-turut

Pasaran buruh Singapura menunjukkan "peningkatan yang luas" dalam suku terakhir 2020, dengan unjuran awal menunjukkan kadar pengangguran terus merosot pada Disember sedang lebih ramai penduduk mendapat pekerjaan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jan 2021 03:13PM Dikemas Kini : 28 Jan 2021 10:48PM

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura menunjukkan "peningkatan yang luas" dalam suku terakhir 2020, dengan unjuran awal menunjukkan kadar pengangguran terus merosot pada Disember sedang lebih ramai penduduk mendapat pekerjaan.

Kadar pengganguran secara keseluruhannya merosot buat dua bulan berturut-turut pada Disember tahun lalu kepada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada November, menurut unjuran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (28 Jan).

Kadar pengangguran penduduk - rakyat Singapura dan penduduk tetap - jatuh kepada 4.4 peratus berbanding 4.6 peratus, manakala kadar pengangguran dalam kalangan rakyat susut kepada 4.5 peratus daripada 4.7 peratus.

Jika dibandingkan dengan September 2020, kadar pengangguran secara keseluruhan pada Disember merosot 0.4 peratusan mata daripada 3.6 peratus. Bagaimanapun, kadar bulan Disember masih lebih tinggi berbanding 2.3 peratus yang dicatatkan setahun lalu.

Secara purata, kadar pengangguran bagi 2020 juga meningkat berbanding 2019, dengan pengangguran secara keseluruhannya naik dari 2.3 peratus kepada 3.0 peratus.

Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk naik dari 3.1 peratus pada 2019 kepada 4.1 peratus pada 2020, manakala kadar pengangguran dalam kalangan rakyat meningkat dari 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.2 peratus pada 2020.

PENGAMBILAN PEKERJA PENDUDUK TEMPATAN NAIK BUAT 2 BULAN BERTURUT-TURUT

Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura meningkat ke paras sebelum pandemik COVID-19 menjelang hujung tahun lalu. Ia meningkat sebanyak 28,900 pada suku keempat 2020, dan 9,300 bagi sepanjang tahun lalu.

Bersama dengan pertumbuhan pada pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura bagi suku ketiga 2020, ia merupakan satu peningkatan berbanding penguncupan yang dialami pada separuh pertama 2020, menurut MOM.

"Meskipun begitu, kadar pengangguran dalam kalangan penduduk Singapura pada Disember 2020 masih lebih tinggi berbanding Disember 2019. Ini membayangkan bahawa penyertaan tenaga kerja dalam kalangan penduduk tempatan dapat ditampung meskipun dilanda pandemik. Antara sebabnya ialah lebih ramai pemohon kerja yang sudah memasuki atau terus bekerja dan bukan meninggalkan pasaran buruh," tambah MOM.

Pengambilan pekerja dalam kalangan bukan penduduk Singapura menguncup lagi 42,400 pada suku keempat 2020. Bagi tempoh sepanjang tahun, pengambilan pekerja dalam kalangan bukan penduduk menjunam 181,500 atau sekitar 16 peratus.

Ini bermakna pengambilan pekerja secara keseluruhannya menguncup 172,200 bagi seluruh 2020.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita