Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Para peniaga rayu tuan tanah 'kongsi beban' sedang sekatan COVID-19 diperketat lagi

Para peniaga barisan hadapan, termasuk yang dalam sektor F&B, runcit dan perkhidmatan hari ini (21 Jul) merayu bantuan bagi memastikan penakatan perniagaan mereka, dengan pendapatan dijangka sekali lagi teruk terjejas disebabkan oleh sekatan COVID-19 yang diperketatkan semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Para peniaga rayu tuan tanah 'kongsi beban' sedang sekatan COVID-19 diperketat lagi

Tidak ramai orang dilihat di Westgate. (Gambar: Vanessa Lim)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 09:18PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 09:24PM

SINGAPURA: Para peniaga barisan hadapan, termasuk yang dalam sektor F&B, runcit dan perkhidmatan hari ini (21 Jul) merayu bantuan bagi memastikan penakatan perniagaan mereka, dengan pendapatan dijangka sekali lagi teruk terjejas disebabkan oleh sekatan COVID-19 yang diperketatkan semula.

Mulai Khamis (22 Jul) hingga 18 Ogos, orang ramai tidak dibenarkan duduk makan di luar dan semua perhimpunan sosial dihadkan kepada dua orang sahaja.

Perikatan Persatuan Perdagangan Perniagaan Barisan Hadapan menyatakan ia "amat prihatin terhadap penakatan perniagaan-perniagaan kami".

Dalam rayuan itu mereka mengharapkan tuan tanah berkongsi beban yang ditanggung. Perikatan itu akur terdapat bantuan yang diberikan oleh pemerintah tetapi ia menggesa para tuan tanah untuk melakukan lebih banyak lagi.

Sewaktu sidang media tadi, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) Kurt Wee berkata beliau melihat terdapat perbezaan dalam cara tuan-tuan tanah bertindak.

"Tahun lalu, terdapat undang-undang yang memerlukan mereka berkongsi beban," ujar beliau.

"Saya harus berkata bahawa sejak Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sehingga sekarang ini, meskipun ada pengumuman-pengumuman tertentu tentang beberapa bantuan, (namun) daripada pandangan kami hampir tiada perkongsian beban kali ini."

BANTUAN "SEKALI-SEKALA DAN KEPADA YANG TERPILIH SAJA"

Bersetuju dengan beliau, Pengerusi Penyewa S’pura Bersatu Demi Keadilan (SGTUFF) menambah bahawa bantuan daripada tuan tanah hanya "sekali sekala dan kepada yang terpilih saja".

"Dengan mudah, kami boleh mengatakan 80 atau 90 peratus penyewa dalam masyarakat kami tidak menerima sebarang bantuan daripada tuan tanah sejak Mei," luah Encik Yow.

"Malah, kali terakhir kami mendapat sebenar-benar bantuan daripada tuan tanah adalah tahun lalu," tambah beliau sambil merujuk kepada tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan pada 2020 ketika mereka diwajibkan melakukan sedemikian.

Oleh itu, perikatan berkenaan menyarankan model bayaran sewa berubah-ubah. Ini bermakna potongan kos sewa ditetapkan pada penurunan penjualan.

"Jika penjualan anda merosot 50 peratus, kami meminta tuan tanah mengurangkan kos sewa kasar sebanyak 50 peratus juga supaya ia sangat adil," jelas Encik Yow sambil menambah kadar sewa bukanlah "angka yang ditetapkan sewenang-wenangnya".

MASA PERMOHONAN

Presiden Persatuan Restoran Singapura (RAS) Andrew Kwan akur bahawa sesetengah tuan tanah ada menghulurkan bantuan kepada para penyewa.

Namun, beliau berkata sekatan-sekatan kali ini dikenakan sewaktu kebanyakan perniagaan sudahpun "menghabiskan sepenuhnya" simpanan mereka.

"Jika industri dibiarkan untuk menangani sendiri keadaan, saya rasa banyak akan ditutup dan ini tidak sihat secara keseluruhannya kerana bukan syarikat sahaja yang gulung tikar tetapi kakitangan juga hilang pekerjaan," ujar Encik Andrew.

Encik Yow yang menganggarkan sekitar 10 hingga 20 peratus perniagaan sudahpun ditutup sejak bermulanya pandemik, pula memberi amaran bahawa banyak syarikat "tiada pendapatan untuk menanggung kos operasi".

"Kami benar-benar merasakan bahawa ini mungkin peluang terakhir untuk kami bertahan," kata beliau.

Selain itu, perikatan tersebut juga menggesa langkah-langkah sokongan gaji dan moratorium pinjaman pokok dilanjutkan kepada Jun 2022.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan