Para majikan bakal terima S$2.2 bilion di bawah Skim Bantuan Pekerjaan mulai 30 Jun
Lebih 140,000 majikan di Singapura akan menerima bayaran di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bernilai S$2.2 bilion mulai 30 Jun.
SINGAPURA: Lebih 140,000 majikan di Singapura akan menerima bayaran di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bernilai S$2.2 bilion mulai 30 Jun.
Bayaran itu bagi membantu majikan membayar gaji lebih 2 juta pekerja tempatan, dedah Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Selasa (22 Jun).
"Dengan bayaran ini, lebih S$26.7 bilion dalam bentuk sokongan JSS sudahpun diagihkan sejak skim itu diperkenalkan semasa Belanjawan Perpaduan pada Februari 2020," menurut kenyataan bersama itu.
JSS memberi subsidi gaji bagi pekerja rakyat Singapura dan penduduk tetap demi membantu syarikat-syarikat yang terjejas semasa pandemik COVID-19.
Majikan yang membuat sumbangan wajib kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk pekerja tempatan mereka dari Januari hingga Mac tahun ini sebelum tarikh yang ditetapkan akan menerima bayaran itu.
Bagi bayaran Jun ini, para majikan dalam sektor penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan akan menerima 50 peratus sokongan bagi gaji kasar bulanan sehingga S$4,600 yang dibayar dari Januari hingga Mac.
Majikan dalam sektor khidmat makanan, runcit, seni dan hiburan, pengangkutan darat, sekitaran bandar serta industri marin dan lepas pantai akan menikmati subsidi 30 peratus.
Sokongan bagi sektor-sektor lain pula ialah 10 peratus.
Majikan yang layak akan dimaklumkan tentang bayaran mereka bulan ini menerusi pos. Mereka juga boleh melungsuri portal myTax untuk merujuk kepada versi elektronik surat tersebut.
Mereka yang sudahpun membuat pendaftaran untuk PayNow Corporate setakat 25 Jun atau mempunyai aturan GIRO sedia ada bersama IRAS akan menerima bayaran itu mulai 30 Jun. Yang lain boleh menjangkakan bayaran menerusi cek mulai 5 Julai.
Sebelum ini, pemerintah mengumumkan akan melanjutkan JSS kepada sektor-sektor yang terjejas teruk oleh langkah-langkah COVID-19 dari 16 Mei hingga 11 Julai.
Para majikan dalam sektor-sektor tersebut akan menerima subsidi 50 peratus sepanjang tempoh tersebut manakala mereka dari sektor lain akan mendapat subsidi 30 peratus. Dari 12 Julai hingga 25 Julai, semua sektor yang terjejas akan menikmati subsidi 10 peratus.
Bayaran akan diagihkan pada September nanti.
MOF dan IRAS mengingatkan majikan agar menyumbang jumlah yang CPF yang betul kepada para pekerja, berdasarkan gaji yang dibayar.
"Sumbangan CPF para majikan digunakan untuk menentukan bayaran JSS. Denda bagi sebarang percubaan untuk menyalah guna JSS adalah berat," tegas kedua-dua pihak itu.
Selain tidak diberikan bayaran JSS, para pesalah juga boleh didakwa dan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Perniagaan atau individu yang mahu membuat aduan tentang amalan salah atau penyalahgunaan skim itu boleh melakukan sedemikian menerusi email kepada jssreport [at] iras.gov.sg atau secara online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.