Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Panggilan untuk melancong ke Jerman, Brunei makin rancak setelah VTL diumumkan

Sudah boleh melancong ke Jerman, Brunei tanpa SHN: Syarikat-syarikat pelancongan tempatan mula terima banyak pertanyaan dan mula lakar program pelancongan ke Jerman & Brunei. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi-agensi pelancongan tempatan hari ini (20 Ogos) menyatakan ia sudah mula menerima panggilan daripada para pelanggan yang ingin melancong ke Jerman dan Brunei.

Ini menyusuli pengumuman pemerintah mengenai Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksinasi (VTL) antara Singapura dengan Jerman dan Brunei, semalam (19 Ogos).

Di bawah VTL, rakyat Singapura yang melancong ke Jerman atau Brunei tidak perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah apabila pulang tetapi menjalani ujian rutin bagi mengesan COVID-19.

KEINGINAN UNTUK MELANCONG SUDAH MULA HANGAT

Agensi pelancongan Trafalgar, memberitahu BERITAmediacorp bahawa ia sudah rancak menerima pertanyaan mengenai pakej-pakej pelancongan sejak semalam.

Menurut Presiden (Asia) Trafalgar, Cik Mae Cheah, berkata bahawa panggilan telefon dan pertanyaan mengenai harga pelancongan ke destinasi-destinasi tersebut meningkat 65% bagi agensinya.

"Saya boleh katakan panggilan telefon meningkat dua kali ganda juga kalau bandingkan hari ini dengan semalam. Sebelum pengumuman ini, kami telahpun menerima banyak panggilan pertanyaan untuk ke negara Jerman dan negara-negara Eropah lain," kata Cik Cheah.

Malah, Cik Cheah juga mengatakan bahawa keinginan rakyat Singapura untuk melancong memang sudah dijangkakan selepas 18 bulan tidak dapat berbuat demikian.

Bagi Trafalgar, ia akan menawarkan penerbangan ke Jerman bermula pada 18 September, iaitu 10 hari selepas VTL berkuat kuasa.

SHAHIDAH TRAVEL & TOURS SEDIA ATUR PAKEJ KECIL-KECILAN KE BRUNEI & JERMAN

Di samping itu, ada juga agensi pelancongan yang sudah mula membuat perancangan awal untuk menyediakan pakej pelancongan ke Jerman dan Brunei.

Pemerintah menyatakan bahawa akan ada tujuh penerbangan dari Jerman ke Singapura di bawah VTL setiap minggu. Ini bermakna sehingga 2,000 penumpang yang sudah divaksin sepenuhnya boleh memasuki Singapura menerusi VTL.

Agensi pelancongan Shahidah Travel & Tours misalnya menyatakan akan berusaha menawarkan pakej-pakej pelancongan ke negara-negara tersebut, sekali gus menyasarkan musim-musim cuti sekolah bermula bulan depan.

Shahidah Travel menjadi yang pertama kembali tawar pakej umrah. (Gambar: BERITAmediacorp) 

"Memandangkan bulan September ini waktu cuti sekolah dan November dan Disember juga, kita akan sasarkan untuk mulakan dengan Brunei dahulu," kata penolong pengurus Shahidah Travel & Tours, Cik Sumini Mocheny.

"Ramai yang kata Brunei tidak ada apa-apa tetapi banyak yang boleh kita lakukan di Brunei. Makanan sedap, hotel bagus dan pakejnya juga tidak berapa mahal. Kita juga boleh tawarkan pakej tiga, empat, lima hari."

Sebelum ini, Shahidah Travel & Tours pernah menawarkan pakej Eropah selama 10 hari ke Perancis, England dan Itali.

Cik Sumini berkata bahawa agensinya akan menantikan sempadan dibuka bagi negara-negara Eropah yang lain sebelum menawarkan pakej Eropah secara menyeluruh.

"Kalau hanya untuk Jerman sahaja, mungkin lawatan yang pendek sahaja," katanya.

Bagi menjaga maslahat para peserta pakejnya, Cik Sumini juga berkata bahawa syarikatnya tidak akan mengambil jumlah peserta terlalu besar untuk setiap lawatan.

Ia mungkin dimulakan dengan 10 orang sahaja dahulu "ataupun boleh melancong berdua juga", katanya.

Galeri pemandangan di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 12 Okt 2020. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Beberapa agensi pelancongan lain yang turut BERITAmediacorp hubungi seperti Orange Travel, Halijah Travel dan Noor Mohamad Services & Travel memilih untuk mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" sebelum membuat sebarang rancangan dibuat bagi perjalanan ke negara-negara berkenaan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan