Pandemik COVID-19 bantu rancakkan pasaran perumahan privet Sentosa
COVID-19 mungkin membantu untuk merancakkan pasaran hartanah mewah di pulau Sentosa setelah pasaran itu merudum sebelum pandemik.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: COVID-19 mungkin membantu untuk merancakkan pasaran hartanah mewah di pulau Sentosa setelah pasaran itu merudum sebelum pandemik.
Data daripada beberapa syarikat perunding hartanah menunjukkan jumlah urus niaga penjualan bagi hartanah berhalaman dan tidak berhalaman di pulau itu melonjak dari 2019 hingga 2020, dengan bilangan urus niaga naik dua kali ganda bagi hartanah berhalaman. Harga-harga turut meningkat.
Trend meningkat itu berterusan sehingga separuh pertama 2021.
Walaupun terdapat lebih ramai warga asing yang meninggalkan Singapura berbanding daripada memasuki negara ini sejak pandemik bermula disebabkan sekatan sempadan, kontrak-kontrak sewa kekal stabil. Ia juga meningkat pada 2020, berbanding 2019.
Para penganalisis berkata permintaan meningkat bagi hartanah di Sentosa adalah sejajar dengan pemulihan pasaran perumahan meluas di Singapura, terutama sekali bagi hartanah mewah.
Namun, walaupun semua petunjuk menandakan terdapat peningkatan, pasaran itu jauh daripada tahap kegemilangannya pada sekitar 2010.
Pada ketika itu, harga median bagi hartanah tidak berhalaman di Sentosa Cove adalah S$2,200 bagi setiap kaki persegi.
Pada separuh pertama 2021, harga itu adalah kira-kira S$1,530 bagi setiap kaki persegi, menurut data daripada beberapa perunding hartanah.
Ini merupakan kenaikan sebanyak 5.8 peratus daripada S$1,446 setiap kaki persegi pada 2020 menyusuli kenaikan 1.2 peratus daripada S$1,429 bagi setiap kaki persegi pada 2019.
Sementara itu, harga bagi hartanah berhalaman di Sentosa meningkat sebanyak lebih lapan peratus daripada S$1,518 bagi setiap kaki persegi pada 2020 kepada kira-kira S$1,650 pada separuh pertama 2021.
Bagi urus niaga jualan semula, terdapat sekurang-kurangnya 60 unit kondominium dan 12 hartanah berhalaman di Sentosa yang dijual pada separuh pertama tahun ini, satu peningkatan berbanding 43 unit kondominium dan 13 hartanah berhalaman yang bertukar tangan sepanjang tahun lalu.
Berbanding dengan hanya 23 unit kondominium dan tujuh hartanah berhalaman yang dijual pada 2019, 2020 menyaksikan lonjakan 87 peratus dalam penjualan kondominium dan kenaikan hampir seganda bagi hartanah berhalaman.
Sementara jumlah sewa bagi hartanah berhalaman tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara antara 2019 dengan 2020, jumlah kontrak sewa yang ditandatangani bagi unit-unit kondominium di Sentosa Cove meningkat sebanyak 8.6 peratus pada 2020 kepada 873, berbanding 804 pada tahun sebelumnya.
Bagi separuh pertama tahun ini, 394 kontrak sewa hartanah tidak berhalaman dan 32 kontrak sewa hartanah berhalaman ditandatangani.
Para penganalisis berkata penangguhan dalam proses menyiapkan projek-projek perumahan baru dan keperluan bagi lebih banyak ruang disebabkan oleh aturan bekerja dari rumah menyebabkan sesetengah individu menyewa rumah di Sentosa Cove.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.