Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pakar ramal ekonomi S'pura meleset -7% tahun ini

Singapura mungkin akan mengalami kemelesetan, jatuh -7 peratus pada 2020. Ini adalah jauh lebih buruk daripada Krisis Kewangan Global pada 2008-2009 atau Krisis Kewangan Asia pada 1997-1999. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Belum pun memasuki pertengahan tahun, sudah dua kali ramalan bagi pertumbuhan ekonomi Singapura diturunkan.

Minggu lalu Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan pertumbuhan hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura mungkin menguncup ke paras antara -1 peratus hingga -4 peratus tahun ini angkara kesan teruk COVID-19 yang melumpuhkan kegiatan ekonomi global dan domestik.

Pakar ekonomi Maybank Saktiandi Supaat bagaimanapun lebih pesimis dalam ramalannya.

Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank, Saktiandi Supaat.

"Singapura mungkin akan mengalami kemelesetan, jatuh -7 peratus pada 2020. Ini adalah jauh lebih buruk daripada Krisis Kewangan Global pada 2008-2009 atau Krisis Kewangan Asia pada 1997-1999," kata Encik Saktiandi.

Bagi ekonomi global pula, beliau menganggarkan ia akan menguncup dengan lebih ketara, iaitu sebanyak -3 peratus. Ekonomi ASEAN juga dijangka akan jatuh sebanyak 0.9 peratus.

Semua itu secara langsung akan mempengaruhi prestasi ekonomi Singapura yang sangat terbuka. Apatah lagi dengan pelbagai sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan negara-negara merata dunia bagi membendung COVID-19, permintaan luar negara pula tidak akan "naik mendadak", tambah Encik Saktiandi.

Selain itu, Singapura mungkin berdepan dengan cabaran dalam usahanya memenuhi permintaan pasaran. Ini kerana tenaga kerjanya - yang mengikut tradisi datang dari Malaysia - akan terhambat dalam jangka pendek dan sederhana, lantas mengganggu keupayaan syarikat-syarikat di Singapura untuk menyambung semula operasi seperti sedia kala.

BILAKAH EKONOMI SINGAPURA AKAN PULIH?

Apabila ditanya bilakah Singapura boleh menjangkakan ekonominya akan pulih, Encik Saktiandi menjangkakan ia hanya akan berlaku pada tahun depan. Namun, itupun hanya boleh dicapai jika COVID-19 dapat ditewaskan pada separuh kedua tahun ini.

"Saya menganggarkan mungkin kita akan melalui pemulihan bersifat 'U-shaped atau L-shaped'," kongsi Encik Saktiandi.

Bangunan Bursa Saham Singapura. (Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Pemulihan berbentuk 'U' merujuk kepada keadaan ekonomi yang mana GDP menguncup buat beberapa suku berturut-turut sebelum kembali mencatat kadar pertumbuhan biasa.

Pemulihan berbentuk 'L' pula menggambarkan kegawatan ekonomi yang begitu dalam yang kemudian disusuli dengan pemulihan yang sangat perlahan.

Suasana di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Dua senario itu boleh berlaku kerana "pembukaan ekonomi global dan Singapura akan mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih". Bagi Singapura sahaja, banyak sektor yang tidak menyediakan khidmat penting sangat terjejas sehinggakan ia menghambat pertumbuhan ekonomi.

Buat masa ini, tambah Encik Saktiandi, kemelesetan ekonomi global mungkin masih akan berlarutan antara 6 hingga 12 bulan mendatang, dengan perniagaan-perniagaan lebih bersikap berhati-hati dan enggan mengambil risiko. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan