Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pakar ekonomi naikkan unjuran inflasi; ramal MAS terus perketat dasar kewangan

Para pakar ekonomi menaikkan ramalan inflasi masing-masing dan menjangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan memperketatkan lagi dasar kewangan negara tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pakar ekonomi menaikkan ramalan inflasi masing-masing dan menjangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan memperketatkan lagi dasar kewangan negara tahun ini.

Ini setelah bank pusat itu menggemparkan pasaran pada Selasa (25 Jan) dengan satu langkah di luar kitaran untuk memperkukuhkan dolar Singapura.

Sebahagian besar semakan naik sekitar satu peratusan mata bagi kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras.

Unjuran para pakar ekonomi sejajar dengan semakan MAS terhadap ramalannya sendiri pada Selasa, dengan inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan kadar antara 2.5 hingga 3.5 peratus pada 2022. Ini lebih tinggi berbanding julat ramalan awal antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Inflasi teras diunjurkan meningkat antara dua hingga tiga peratus tahun ini - lebih tinggi berbanding ramalan satu hingga dua peratus yang dijangkakan pada Oktober tahun lalu.

Para penganalisis daripada bank DBS menjangkakan inflasi keseluruhan mencatatkan 3.8 peratus untuk 2022 berbanding unjuran awalnya sebanyak 2.8 peratus.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan serta penginapan, dijangka melonjak kepada tiga peratus berbanding hanya 0.9 peratus sebelumnya.

Cik Selena Ling, Ketua Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan OCBC, menaikkan ramalan inflasi utamanya kepada 3.5 peratus dari 2.5peratus. Beliau mengunjurkan inflasi teras mencatatkan 2.5 peratus dan bukannya dua peratus.

Dr Chua Hak Bin dan Ms Lee Ju Ye, pakar ekonomi daripada Maybank, juga menaikkan ramalan bagi inflasi untuk seluruh tahun 2022.

Mereka mengunjurkan inflasi utama mungkin mencatatkan 3.6 peratus, naik dari 2.6 peratus pada ramalan lalu. Sementara itu, inflasi teras pula disemak lebih tinggi kepada 2.7 peratus dari 1.8 peratus.

Bank pusat, yang biasanya membuat keputusan dasar kewangannya hanya dua kali setahun pada April dan Oktober, menyatakan pada awal Selasa ia akan menaikkan "sedikit" kadar tambah nilai dasar kewangan. Tiada perubahan pada keluasan dan paras jalur dasar kadar nilai pertukaran.

MAS menguruskan dasar kewangan dengan menyesuaikan setting kadar pertukaran dan bukannya melalui kadar faedah seperti yang dilakukan kebanyakan bank pusat lain.

Dengan menyesuaikan jalur dasarnya, keluasan dan paras jalurnya, dolar Singapura dibenarkan untuk naik atau turun berbanding mata wang rakan dagangan utamanya dalam jalur dasar yang tidak didedahkan, dikenali sebagai kadar nilai pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER).

MAS menyatakan langkah luar kitaran untuk memperketatkan dasar kewangan itu "melanjutkan perubahan awal" sejak Oktober tahun lalu apabila bank pusat tersebut mengejutkan pasaran dengan mula mengetatkan dasar kewangannya ketika itu.

LEBIH BANYAK PENGETATAN

Pakar ekonomi memberi amaran pada suku keempat tahun lalu bahawa tekanan inflasi dalam beberapa aspek - kebanyakannya dek langkah-langkah untuk membendung penularan pandemik COVID-19 - boleh berterusan dan menyebabkan harga pengguna melambung pada 2022.

Cik Ling daripada OCBC berkata meskipun prospek pertumbuhan kekal utuh dan ramalan rasmi untuk pertumbuhan ekonomi Singapura kekal antara tiga hingga lima peratus bagi 2022, prospek inflasi berkemungkinan "pengubah permainan... disebabkan oleh inflasi yang hampir sempurna yang timbul daripada permintaan lebih kukuh dan kecerutan rantaian bekalan yang berlarutan".

Inilah sebabnya mengapa para pakar ekonomi yang ditemu bual Mediacorp tidak menolak pusingan lanjut pengetatan pada 2022 sekalipun dengan langkah di luar kitaran ini oleh MAS.

Satu lagi isu yang merumitkan keadaan adalah kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikuatkuasakan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam amanat Tahun Baru beliau bahawa Pemerintah perlu "mula melaksanakan" rancangannya untuk menaikkan GST dari 7 peratus kepada 9 peratus.

Beberapa pakar ekonomi sebelum ini berkata kenaikan itu mungkin berlaku seawal Julai tahun ini.

Para penganalisis daripada DBS berkata dalam satu nota penyelidikan pada Selasa: "Jangkakan satu lagi lonjakan pada inflasi sekiranya GST (lebih tinggi) diperkenalkan. Mempertimbangkan hal ini, terdapat keperluan mendesak bagi para penggubal dasar untuk menambat jangkaan inflasi dan menampan inflasi import."

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan