Skip to main content

Kewangan

Pakar ekonomi kekalkan unjuran pertumbuhan SG bagi 2025 pada kadar 2.6%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Mar 2025 03:07PM Dikemas Kini : 19 Mar 2025 10:57PM
SINGAPURA: Para ahli ekonomi sektor swasta mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini pada kadar 2.6 peratus.

Ini lebih rendah berbanding pertumbuhan 4.4 peratus yang dicatatkan tahun lalu. Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Singapura akan mencapai antara 1 dan 3 peratus tahun ini.

Ketegangan geopolitik, termasuk tarif yang lebih tinggi, disebut oleh pakar ekonomi sebagai risiko yang boleh menghambat pertumbuhan. Mereka juga merujuk kepada pertumbuhan yang lebih lemah di China dan kenaikan semula inflasi.

Prospek ekonomi Singapura juga bergantung kepada pertumbuhan yang lebih kukuh di China, serta kitaran teknologi yang meningkat berterusan dan ketegangan perdagangan yang kurang sengit.

Hasil tinjauan itu dikeluarkan pada Rabu (19 Mac) dalam laporan terbaharu Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melibatkan para ahli ekonomi sektor swasta.

Seramai 20 ahli ekonomi dan penganalisis mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut.

Mereka meramalkan ekonomi Singapura akan berkembang antara 2.5 peratus hingga 2.9 peratus tahun ini, sama seperti tinjauan sebelumnya yang dijalankan pada Disember 2024, menurut laporan itu.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan peribadi, diunjurkan mencapai 1.5 peratus pada 2025, berada dalam julat ramalan rasmi MAS antara 1 hingga 2 peratus.

Sekitar 16 peratus responden menjangkakan penurunan pada Kadar Tukaran Efektik Nominal Dolar Singapura (S$NEER) dalam semakan dasar kewangan negara pada April. Sekitar 29 peratus menjangkakan langkah sedemikian pada Julai.

MAS menggunakan kadar pertukaran sebagai alat dasar utamanya kerana Singapura adalah sebuah ekonomi terbuka yang banyak bergantung kepada perdagangan.

S$NEER merujuk kepada kadar pertukaran dolar Singapura yang diuruskan berbanding mata wang rakan-rakan dagang utama Singapura.

Bagi 2026, pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura diramalkan pada kadar 2.3 peratus, manakala inflasi teras dijangka mencecah 1.7 peratus.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita