Skip to main content

Kewangan

OPEC+ sepakat tambah bekalan minyak untuk sejukkan kenaikan harga

Para menteri OPEC dan negara bukan OPEC (OPEC+) bersetuju pada Ahad (18 Jul) untuk meningkatkan bekalan minyak bermula Ogos untuk menyejukkan harga yang telah naik ke paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun ekoran pemulihan ekonomi global daripada pandemik koronavirus.

Anggaran Waktu Membaca:
OPEC+ sepakat tambah bekalan minyak untuk sejukkan kenaikan harga

(Gambar: Jessica Lutz/Reuters)

Diterbitkan : 18 Jul 2021 10:24PM Dikemas Kini : 18 Jul 2021 10:27PM

DUBAI: Para menteri Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC (OPEC+) bersetuju pada Ahad (18 Jul) untuk meningkatkan bekalan minyak bermula Ogos untuk menyejukkan harga yang telah naik ke paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun ekoran pemulihan ekonomi global daripada pandemik koronavirus.

Kumpulan itu, yang merangkumi negara-negara OPEC dan sekutu seperti Rusia, mencapai persetujuan penting berhubung peruntukan pengeluaran baru mulai Mei 2022 selepas Arab Saudi dan anggota yang lain sepakat terima permintaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang awalnya boleh menjejas rancangan itu.

"Kami gembira dengan perjanjian itu," kata Menteri Tenaga UAE, Suhail bin Mohammed al-Mazroui dalam satu sidang media. Menteri tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, enggan menjawab pertanyaan mengenai bagaimana kata sepakat itu dicapai.

OPEC+ pada tahun lalu mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari (bpd) di tengah-tengah permintaan yang merosot dan harga yang menjunam akibat COVID-19. Kumpulan itu secara beransur-ansur memulihkan sebahagian bekalan ke paras pengurangan sekitar 5.8 juta bpd.

Dari Ogos hingga Disember 2021, kumpulan itu akan meningkatkan bekalan sebanyak 2 juta bpd atau 0.4 juta bpd setiap bulan, menurut satu kenyataan OPEC .

Kumpulan itu bersetuju untuk melanjutkan perjanjian mereka hingga hujung 2022, dari tarikh yang dipersetujui sebelumnya hingga April 2022, untuk memberikan lebih banyak ruang bagi membuat penyesuaian sekiranya pemulihan global tergendala akibat varian baru koronavirus.

Penyesuaian itu secara keseluruhannya akan menambah bekalan sebanyak 1.63 juta bpd bermula Mei tahun depan, menurut kiraan Reuters.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita