OPEC+ dijangka tingkatkan lagi pengeluaran minyak: Sumber
Pam angguk dan tangki minyak digambarkan di ladang petani berhampiran Kindersley, Saskatchewan, Kanada pada 5 Sep 2024. (Gambar fail: Reuters/Todd Korol)
- OPEC+ dijangka bersetuju menaikkan sasaran pengeluaran minyak sebanyak 188,000 tong sehari bermula Ogos, selepas kenaikan serupa pada Jun dan Julai.
- Langkah ini diambil selepas Selat Hormuz dibuka semula secara beransur-ansur, membolehkan eksport minyak dari negara anggota utama seperti Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.
- Pengeluaran OPEC+ sebelum ini terjejas akibat perang Amerika-Israel terhadap Iran, namun mula pulih dengan bantuan Amerika Syarikat dan memorandum persefahaman untuk menamatkan konflik.
- Harga minyak global kini kembali ke paras sebelum perang, dipengaruhi oleh pengurangan import China, peningkatan eksport dari luar Timur Tengah, dan pelepasan rizab strategik global.
Kumpulan pengeluar minyak itu secara prinsip bersetuju untuk menaikkan kuota pengeluaran dengan tambahan 188,000 tong sehari dari bulan Ogos, sebagai tambahan kepada kenaikan yang sama pada Jun dan Julai, kata seorang sumber OPEC+ menjelang mesyuarat kumpulan itu pada Ahad.
Dua lagi sumber berkata kenaikan itu merupakan keputusan yang paling mungkin dicapai menerusi perbincangan secara online itu.
Tujuh anggota teras OPEC+, yang menggabungkan OPEC dan pengeluar bersekutu termasuk Rusia, telah meningkatkan kuota pengeluaran mereka sebanyak hampir 800,000 tong sehari dari April hingga Julai berbanding paras sebelumnya.
PENGELUARAN MULA PULIH
Namun, peningkatan itu belum dapat dilaksanakan akibat perang Amerika-Israel terhadap Iran, yang menyebabkan Selat Hormuz ditutup kepada kapal-kapal tangki dari beberapa anggota OPEC+ yang paling penting termasuk Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.
Pengeluaran OPEC+ jatuh kepada 33.13 juta tong sehari pada Mei, menurut data OPEC, berbanding 42.77 juta tong sehari pada Februari. Ia mula pulih pada bulan Jun hasil usaha Amerika Syarikat untuk membantu UAE dan negara-negara OPEC+ lain mengeksport lebih banyak minyak, tetapi masih di bawah paras sebelum perang.
Walaupun gangguan ke atas bekalan masih berterusan, harga minyak telah kembali ke paras sebelum perang, dipengaruhi oleh pengurangan import China, eksport lebih tinggi daripada pengeluar di luar Timur Tengah, dan pelepasan rizab strategik global pada paras rekod yang diselaraskan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa.
Memorandum persefahaman untuk menamatkan perang juga telah membantu meyakinkan pedagang bahawa bekalan akhirnya akan kembali ke paras biasa. Harga minyak mentah Brent diniagakan pada paras hampir AS$72 (S$92.98) setong pada Jumaat, turun daripada paras tertinggi baru-baru ini iaitu lebih AS$120 (S$154.97) setong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.