Skip to main content

Kewangan

Nilai yen jatuh, rakyat SG berpusu-pusu tukar mata wang jelang musim cuti

Apabila nilai yen Jepun menjunam dengan mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini, para pengguna dompet elektronik pelbagai mata wang mengambil peluang untuk menukar dolar Singapura kepada yen.

Anggaran Waktu Membaca:
Nilai yen jatuh, rakyat SG berpusu-pusu tukar mata wang jelang musim cuti

Para pelancong di Kyoto, Jepun. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 10 Oct 2025 11:41PM
  • YouTrip, pengendali yang berpangkalan di Singapura, memaklumkan pihaknya mencatatkan jumlah pertukaran SGD-JPY harian tertinggi pada Rabu (8 Okt), apabila para pengguna dapat memperoleh 117.85 yen bagi setiap dolar Singapura.
  • Revolut, yang beribu pejabat di United Kingdom, turut melaporkan peningkatan dalam kalangan pengguna Singapura yang menukar dolar Singapura kepada yen berikutan kejatuhan nilai mata wang Jepun itu.
  • Kelemahan terkini mata wang yen sebahagian besarnya dikaitkan dengan peralihan politik di Jepun, dengan Parti Demokratik Liberal (LDP) memilih Cik Sanae Takaichi sebagai pemimpin baharunya.
  • Cik Takaichi dijangka menyokong peningkatan perbelanjaan fiskal dan dasar kewangan yang lebih longgar, kata pedagang jualan CMC Markets Singapura, Oriano Lizza.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Apabila nilai yen Jepun menjunam dengan mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini, para pengguna dompet elektronik pelbagai mata wang mengambil peluang untuk menukar dolar Singapura kepada yen.

YouTrip, pengendali yang berpangkalan di Singapura, memaklumkan pihaknya mencatatkan jumlah pertukaran SGD-JPY harian tertinggi pada Rabu (8 Okt), apabila para pengguna dapat memperoleh 117.85 yen bagi setiap dolar Singapura. Rekod baharu itu mengatasi paras tertinggi sebelumnya sebanyak 77 peratus, apabila yen merosot pada 2024, menurut ketua pegawai operasi YouTrip, Kelvin Lam.

Menurut beliau, "lonjakan besar" itu bermula pada 6 Oktober, dengan jumlah pertukaran harian meningkat 14 kali ganda berbanding hari sebelumnya apabila yen jatuh kepada 116.9 bagi setiap dolar Singapura.

Revolut, yang beribu pejabat di United Kingdom, turut melaporkan peningkatan dalam kalangan pengguna Singapura yang menukar dolar Singapura kepada yen berikutan kejatuhan nilai mata wang Jepun itu.
Berbanding 1 Oktober, jumlah pertukaran mata wang pada 8 Oktober meningkat lebih 13 kali ganda, manakala bilangan pengguna yang membuat pertukaran melonjak hampir 9.5 kali ganda.

“Peningkatan paling ketara berlaku mulai 6 Oktober, dengan jumlah transaksi melonjak lebih sepuluh kali ganda berbanding awal bulan, mencerminkan trend jelas dalam kalangan rakyat Singapura yang memberi reaksi terhadap kejatuhan nilai yen,” kata Ketua Strategi dan Operasi Revolut Singapura, Ashley Thomas.

Rata-rata, bagi tiga bulan lalu, kadar pertukaran kekal antara 114 hingga 116 yen bagi setiap dolar Singapura. Menjelang petang Jumaat, kadar pertukaran ialah 117.63 yen bagi setiap S$1.

Kelemahan terkini mata wang yen sebahagian besarnya dikaitkan dengan peralihan politik di Jepun, dengan Parti Demokratik Liberal (LDP) memilih Cik Sanae Takaichi sebagai pemimpin baharunya.

Cik Takaichi dijangka menjadi perdana menteri, meskipun perkara itu kini dipersoalkan selepas parti Komeito menarik diri daripada gabungannya dengan LDP.
Beliau dijangka menyokong peningkatan perbelanjaan fiskal dan dasar kewangan yang lebih longgar, kata pedagang jualan CMC Markets Singapura, Oriano Lizza.

“Pemilihannya mendorong para pedagang untuk mengurangkan dengan ketara jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah Bank of Japan (BOJ) dengan ketara,” katanya. Kenaikan kadar faedah biasanya akan menguatkan nilai yen.

Pakar strategi mata wang DBS, Chang Wei Liang, turut berkongsi pendapat tersebut. “Pasaran menjangkakan beliau akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan berkemungkinan menentang rancangan BOJ untuk menaikkan kadar faedah,” kata beliau.

Namun, beliau menambah bahawa kehilangan sokongan daripada rakan gabungannya, Komeito, akan menyukarkan kerajaan dalam meluluskan belanjawan, yang sekali gus boleh mengehadkan rancangan Cik Takaichi untuk mengembangkan rangsangan fiskal. "JPY berkemungkinan mengurangkan kerugiannya baru-baru ini dalam senario sedemikian," katanya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita