Skip to main content

Kewangan

Nilai portfolio bersih Temasek catat rekod baharu S$434b

Nilai portfolio bersih Temasek meningkat sebanyak 11.8 peratus berbanding setahun lalu, untuk mencecah jumlah rekod S$434 bilion setakat 31 Mac lalu, menurut pelabur negara itu pada Rabu (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jul 2025 06:50PM Dikemas Kini : 09 Jul 2025 10:09PM
SINGAPURA: Nilai portfolio bersih Temasek meningkat sebanyak 11.8 peratus berbanding setahun lalu, untuk mencecah jumlah rekod S$434 bilion setakat 31 Mac lalu, menurut pelabur negara itu pada Rabu (9 Jul).

Kenaikan itu sebahagian besar disebabkan oleh prestasi lebih kukuh oleh syarikat-syarikat tersenarai yang berpangkalan di Singapura dalam portfolio Temasek, serta pelaburan langsung di China, Amerika Syarikat dan India dalam tahun kewangan sebelumnya.

Temasek adalah pemegang saham utama syarikat-syarikat seperti DBS dan Singapore Airlines.

Mengambil kira nilai aset-aset Temasek yang tidak tersenarai, nilai portfolio bersihnya adalah S$469 bilion.

Laporan tahunannya diterbitkan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghantar surat maklum tarif kepada negara-negara Asia termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand.

Tarif itu dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Di tengah-tengah persekitaran sedemikian, Temasek "aktif mengimbangi semula" portfolionya dan mengukuhkan daya ketahanan, menurut syarikat itu.

Ia juga menarik perhatian bahawa ketegangan geopolitik akan kekal sebagai risiko utama yang berkemungkinan menghambat pertumbuhan global.

Sejauh ini, syarikat itu sudah melabur S$52 bilion dan mengeluarkan S$42 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, yang merupakan pelaburan bersih sebanyak S$10 bilion berbanding pelupusan bersih pada tahun sebelumnya sebanyak S$7 bilion.

"Kami akan terus melabur dalam peneraju pasaran yang baharu muncul dan mantap yang menjana aliran tunai dan pendapatan yang stabil dengan pendedahan terurus kepada ketegangan perdagangan - terutama sekali mereka yang mempunyai akses kepada pasaran domestik yang besar, rantaian bekalan yang berdaya tahan, dan kuasa harga yang kukuh," kata syarikat itu.

Ketua pegawai eksekutif Dilhan Pillay berkata ketidaktentuan dunia berbilang kuasa dipacu oleh revolusi yang dipacu oleh AI serta krisis iklim yang tetap menjadi ancaman.

"Di Temasek, kami jelas tentang risiko di hadapan dan terus menelusuri kekaburan yang timbul dalam persekitaran global yang sentiasa berubah dengan pendekatan pragmatik," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita