Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

NFT tidak sesuai bagi pelabur runcit, pengguna harus 'berwaspada', nasihat Tharman

Pelaburan dalam token digital, termasuk token bukan sepiawai (NFT), tidak sesuai untuk pelabur runcit, kata Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Selasa (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelaburan dalam token digital, termasuk token bukan sepiawai (NFT), tidak sesuai untuk pelabur runcit, kata Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Selasa (15 Feb).

Beliau menarik perhatian bahawa MAS sudahpun mengeluarkan beberapa makluman untuk menggesa para pengguna supaya "amat berhati-hati" ketika membuat pelaburan dalam token sedemikian.

"Khususnya bagi NFT, ciri-cirinya yang dianggap unik, digabungkan dengan permintaan spekulatif, bertujuan untuk menaikkan harga. Ini berpotensi menyebabkan para pelabur berisiko mengalami kerugian besar jika semangat spekulatif itu semakin reda," kata Encik Tharman yang juga merupakan pengerusi MAS.

Encik Tharman memberi jawapan bertulis kepada satu soalan Parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen Don Wee (PAP-Chua Chu Kang), yang bertanya jika MAS merancang untuk mengawal selia kegiatan berkaitan NFT.

NFT merupakan token digital yang mempunyai tandatangan digital yang unik, disahkan dan dilindungi oleh teknologi blok rantai. Walaupun ia lazimnya datang dalam bentuk seni, muzik, video dan barangan koleksi yang lain, ia boleh digunakan untuk mewakili mana-mana aset tersembunyi.

"MAS tidak dan tidak mungkin boleh mengawal selia segala benda atau produk yang orang ramai pilih untuk melaburkan wang mereka," kata Encik Tharman. Beliau menambah MAS mempertimbangkan "unsur sesuatu aset" ketika menilai sama ada sebuah produk atau aktiviti itu harus tertakluk kepada bidang kuasa kawal selianya.

Buat masa ini, MAS tidak mengawal selia NFT disebabkan ciri-ciri aset itu, kata Encik Tharman sambil menarik perhatian bahawa negara-negara lain turut mengambil pendirian yang serupa.

Encik Tharman berkata MAS mengambil pendirian "neutral teknologi" dan melihat pada ciri-ciri asas token itu untuk menentukan jika ia perlu dikawal selia.

"Sekiranya NFT mempunyai ciri-ciri sebuah produk pasaran modal di bawah Akta Sekuriti dan Masa Hadapan (SFA), ia tertakluk kepada syarat-syarat pengawalseliaan MAS," kata Encik Tharman.

"Misalnya, jika NFT dibentuk untuk mewakili hak bagi portfolio saham yang tersenarai, ia akan - seperti skim-skim pelaburan kolektif lain - tertakluk kepada keperluan prospektus, keperluan perlesenan dan tatakelakuan perniagaan," katanya.

Encik Tharman juga menggariskan "kerumitan dan risiko undang-undang yang ketara" daripada pelibatan dalam NFT.

"Sebagai contoh, seorang pemegang NFT yang mempunyai aset asas imej digital harus menjelaskan hak pemilikannya dan rangka kerja undang-undang yang mengawal haknya," kata Encik Tharman.

"MAS akan terus memantau perkembangan dalam ruang token digital, termasuk NFT."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan