Skip to main content

Kewangan

Netflix, Paramount bersaing dapatkan Warner Bros Discovery dalam rebutan kuasa Hollywood

Paramount Skydance melancarkan bidaan bernilai S$108.4 bilion untuk mengambil aliih Warner Bros Discovvery, sekali gus mencabar tawaran daripada Netflix dan menimbulkan ketidakpastian terhadap masa depan syarikat meda Hollywood yang bersejarah itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Netflix, Paramount bersaing dapatkan Warner Bros Discovery dalam rebutan kuasa Hollywood
Logo Paramount, Netflix dan Warner Bros kelihatan dalam ilustrasi yang diambil pada 8 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
AMERIKA SYARIKAT: Paramount Skydance melancarkan bidaan bernilai S$108.4 bilion untuk mengambil aliih Warner Bros Discovvery, sekali gus mencabar tawaran daripada Netflix dan menimbulkan ketidakpastian terhadap masa depan syarikat meda Hollywood yang bersejarah itu.

Sejak 2000, syarikat induk studio filem Warner Bros itu sudah melalui tiga
penyusunan semula secara besar-besaran.

Kini syarikat itu berdepan penyusunan semula yang keempat.

Berikut empat sebab yang menunjukkan mengapa urus niaga melibatkan Warner Bros Discovery adalah penting:

TINGKATKAN PERSAINGAN DENGAN DISNEY

Jika Paramount berjaya mengambil alih Warner Bros Discovery, syarikat gabungan itu akan mendahului peneraju pasaran, Disney, dari segi bahagian pasaran pecah panggung di Amerika Syarikat dan Kanada.

Walaupun Disney+ kekal sebagai pesaing hebat dalam ruang penstriman dengan memiliki 15 peratus bahagian pengguna aplikasi global yang aktif secara bulan, ia ketinggalan sedikit dari segi metrik pendampingan pengguna individu berbanding Netflix dan HBO Max, menurut firma maklumat pasaran Sensor Tower.

Pengambilalihan itu juga akan mengukuhkan rangkaian kandungan Paramount dengan siri-siri HBO Max yang mendapat pujian, seperti "Game of Thrones" dan "Succession" hingga ke cerita-cerita klasik seperti "The Wire" dan "The Sopranos".

YOUTUBE MENGUKUHKAN BAHAGIAN PASARAN

Syarikat YouTube milik Alphabet pula menguasai platform penstriman lain, membentuk bahagian terbesar bagi jumlah tontonan televisyen secara keseluruhan.

Ia meraih manfaat daripada gabungan kandungan yang dicipta pengguna, hasil pengiklanan dan perkhidmatan secara langsung.

Perkhidmatan penstriman video itu menyatakan pada Mac lalu bahawa ia mempunyai lebih 125 juta pelanggan berbayar, walaupun angka tersebut turut merangkumi para pengguna yang melanggani percubaan percuma (first trial) buat sementara waktu.

YouTube mempunyai sekitar 2.9 bilion pengguna aktif bulanan bagi aplikasi mudah alihnya secara global pada suku semasa, melebihi jumlah MAU yang digabungkan bagi perkhidmatan penstriman utama termasuk Netflix, Disney+, HBO Max, Paramount+ dan Peacock, menurut Sensor Tower.

Pada Oktober, YouTube mendahului jumlah penstriman di Amerika Syarikat dengan 12.9 peratus tontonan, diikuti oleh Netflix dengan lapan peratus, menurut data Nielsen.

DETIK PENTING BAGI HOLLYWOOD

Saham Warner Bros Discovery ditutup empat peratus lebih tinggi pada Isnin (8 Dis), dengan penjualan syarikat tersebut bakal menjadi antara detik paling penting dalam membentuk semula industri media.

Dengan nilai pasaran yang melebihi AS$60 bilion (S$77.86 bilion), saham syarikat itu meningkat lebih dua kali ganda sejak laporan berhubung minat Paramount mula diumumkan pada awal September.

“Paramount dan Netflix adalah antara pembelanja kandungan terbesar di dunia. Akan berlaku pemusatan yang besar dalam perbelanjaan kandungan jika salah satu daripada mereka membeli WBD. Paramount mempunyai pertindihan lebih ketara dalam terbitan filem pawagam, tetapi saiz perbelanjaan kandungan bagi kedua-dua pembida boleh mencetuskan kebimbangan berhubung persaingan,” kata penganalisis eMarketer Ross Benes.

MENANGANI HUTANG

Warner Bros Discovery menanggung kira-kira AS$35 bilion (S$45.42) hutang, bermakna sebarang urus niaga akan membawa kepada beban hutang yang ketara.

Syarikat itu sebelum ini menolak tawaran daripada Paramount sebelum syarikat yang diketuai David Ellison itu meningkatkan bidaannya kepada pengambilalihan bermusuhan.

Pada 2022, penggabungan WarnerMedia dan Discovery mengakibatkan beban hutang besar, yang mengekang inisiatif strategik jangka panjang syarikat tersebut.

Di bawah pengambilalihan mereka, Paramount dijangka mengambil alih kira-kira AS$30 bilion (S$38.93 bilion) hutang Warner Bros Discovery, manakala Netflix akan menanggung sekitar AS$10 bilion (S$12.98 bilion) hutang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita