Negara anggota BRICS akan dikenakan tarif 10% 'dalam masa terdekat': Trump
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (8 Jul) berkata bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari negara-negara anggota BRICS “dalam masa terdekat”.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berjalan selepas turun dari Marine One setibanya di Rumah Putih, Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 6 Julai 2025. (Gambar fail: REUTERS/Ken Cedeno)
Ini mencetuskan satu lagi bantahan daripada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang baru sahaja menjadi tuan rumah bagi sidang puncak tahunan blok tersebut.
Encik Trump, yang mengemukakan ancaman tarif tersebut pada Ahad, berkata dalam mesyuarat kabinet di Rumah Putih pada Selasa bahawa cukai tersebut akan dilaksanakan: “Mana-mana negara yang berada dalam BRICS akan dikenakan caj 10 peratus tidak lama lagi ... Jika ia negara anggota BRICS, ia akan dikenakan tarif 10 peratus ... dan ia tidak akan menjadi anggota untuk jangka masa yang lama.”
Kumpulan BRICS diperluaskan tahun lalu daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan untuk turut merangkumi anggota baharu seperti Iran dan Indonesia.
Para pemimpin yang menghadiri sidang puncak di Rio de Janeiro menyuarakan kritikan secara tidak langsung terhadap dasar ketenteraan dan perdagangan Amerika Syarikat.
Semasa ditanya berhubung ancaman tarif Encik Trump, Encik Lula memberitahu wartawan pada Isnin di sidang puncak BRICS bahawa dunia tidak memerlukan seorang maharaja.
Selepas menerima lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada Selasa. Encik Lula sekali lagi menyatakan rasa tidak setuju beliau.
“Kami tidak akan menerima sebarang aduan mengenai sidang puncak BRICS. Kami tidak bersetuju dengan Presiden Amerika Syarikat yang memberi isyarat bahawa beliau akan mengenakan tarif ke atas negara-negara anggota BRICS,” katanya kepada media di Brasilia.
Encik Trump tidak memberikan sebarang tarikh khusus bila tarif BRICS itu akan dikuatkuasakan. Pada Isnin, sumber yang mengetahui perkara itu berkata bahawa pentadbiran Encik Trump hanya akan mengenakan tarif tersebut jika negara-negara berkenaan mengamalkan dasar anti-Amerika.
Encik Trump mendakwa tanpa bukti pada Selasa bahawa blok BRICS ditubuhkan untuk merugikan Amerika Syarikat dan menjejas dolar Amerika Syarikat sebagai mata wang rizab dunia.
Menurut Encik Trump lagi, beliau tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
“BRICS ditubuhkan untuk melemahkan nilai dolar kita dan mengambil alih peranan dolar kita ... untuk menyingkirkan dolar sebagai piawaian,” katanya. “Dan tidak mengapa, jika mereka mahu berbuat sebegitu, saya juga boleh berbuat sebegitu.”
Encik Trump berkata kehilangan peranan dolar sebagai mata wang rizab dunia adalah seperti “kalah dalam perang, perang dunia yang besar. Kita tidak akan menjadi negara yang sama lagi.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.