Skip to main content

Kewangan

Nasib gedung beli-belah di S'pura

Dua bulan sebelum ini, Robinsons juga menutup cawangan seluas 85,000 kaki persegi di pusat beli-belah JEM yang sudah beroperasi di sana selama tujuh tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasib gedung beli-belah di S'pura
Diterbitkan : 02 Nov 2020 02:46PM Dikemas Kini : 02 Nov 2020 02:48PM

SINGAPURA: Selama 162 tahun beroperasi di Singapura, gedung runcit Robinsons dapat bertahan daripada pengeboman, penjajahan Jepun dan kebakaran besar yang menjejas teruk premisnya di Raffles Place bernilai $21 juta.

Namun pada Jumaat (30 Okt), Robinsons mengumumkan bahawa syarikat itu akan menutup dua cawangan terakhir di The Heeren dan Raffles City, sekali gus menyertai jenama-jenama lain seperti Sogo, Daimaru dan John Little dalam senarai gedung runcit yang gulung tikar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dua bulan sebelum ini, Robinsons juga menutup cawangan seluas 85,000 kaki persegi di pusat beli-belah JEM yang sudah beroperasi di sana selama tujuh tahun.

Robinsons yang dibeli oleh Al-Futtaim Group yang berpangkalan di Dubai pada harga S$600 juta pada 2008 menyebut permintaan pengguna yang lemah sebagai antara sebab ia ditutup.

Syarikat itu juga menyifatkan model perniagaan gedung runcit sebagai "ketinggalan zaman".

Format gedung runcit sebagai sebuah kedai sehenti untuk fesyen, barangan rumah dan lain-lain sudah hilang daya tarikannya, kata Profesor Madya Pemasaran Universiti Pengurusan Singapura Seshan Ramaswami.

Beliau menambah pandemik COVID-19 setakat mempercepatkan lagi kejatuhan gedung runcit.

Selain itu, kadar sewa di Singapura tidak mungkin akan turun kerana ia dikaitkan dengan amanah pelaburan hartanah (REIT), kata Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Politeknik Singapura Amos Tan.

Encik Tan berpendapat hanya menunggu masa sebelum lebih banyak lagi gedung runcit akan mengalami nasib yang serupa seperti Robinsons.

Pada Ogos lalu, gedung beli-belah Isetan melaporkan kerugian bersih S$317,000 bagi suku yang berakhir pada 30 Jun berbanding keuntungan bersih S$1.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dr Ramaswami menarik perhatian bahawa kawasan Orchard Road dan pusat beli-belah lain yang menyasarkan para pelancong seperti Marina Bay Sands terjejas dengan COVID-19 disebabkan oleh jumlah pengunjung tempatan yang berkurangan serta tiada trafik pelancong.

Sehubungan itu, Robinsons pada awal tahun ini menubuhkan kedai di platform online LazMall, Lazada.

Namun, kata Encik Tan, mempunyai kehadiran online tidak cukup bagi gedung runcit.

Ini kerana para pengguna online lebih mengutamakan harga daripada faktor seperti sejarah jenama.

Bagi memikat semula pelanggan, para peruncit tradisional yang memasuki platform online perlu meningkatkan pengalaman beli-belah secara keseluruhannya supaya para pembeli tidak saja memikirkan faktor harga, tambah Encik Tan. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita