Skip to main content

Kewangan

Nasi Lemak Ayam Taliwang tutup cawangan Canberra Plaza susuli kenaikan sewa; Big Mouth Bakehouse gulung tikar

Anggaran Waktu Membaca:
Nasi Lemak Ayam Taliwang tutup cawangan Canberra Plaza susuli kenaikan sewa; Big Mouth Bakehouse gulung tikar

Cawangan Nasi Lemak Ayam Taliwang di Canberra Plaza bersama pemiliknya Noorman Mubarak, serta catatan di media sosial Big Mouth Bakehouse mengenai penutupannya. (Gambar: Nasi Lemak Ayam Taliwang/Petikan skrin video Facebook/Big Mouth Bakehouse/Instagram)

Diterbitkan : 11 Oct 2026 09:00PM Dikemas Kini : 11 Oct 2026 09:05PM
Nasi Lemak Ayam Taliwang closes Canberra Plaza branch following rent hike; Big Mouth Bakehouse folds
  • Nasi Lemak Ayam Taliwang will close its Canberra Plaza branch on Oct 15 after six years, following a rent increase that Mr Noorman Mubarak said is unsustainable.
  • He said the rent had risen three times in three to four years, and together with other operating costs, had also led to the closure of several previous branches.
  • Even so, the brand still has more than 30 outlets in Singapore and wants to expand more cautiously with landlords who understand tenant sustainability.
  • The business environment is also challenging, with 38,146 business closures in the first seven months of 2026, while Big Mouth Bakehouse at Wisma Geylang Serai has also folded.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Nasi Lemak Ayam Taliwang, yang tersenarai dalam Panduan Michelin Singapura 2026, akan menutup cawangannya di Canberra Plaza pada Khamis (15 Okt) selepas beroperasi selama enam tahun di sana disebabkan oleh "kenaikan sewa yang tidak mampan".

Pemilik Nasi Lemak Ayam Taliwang, Encik Noorman Mubarak berkata demikian baru-baru ini dalam video yang dimuat naik ke laman media sosial jenama tersebut.

"Kami sudah berada di sini sejak COVID-19, tetapi disebabkan kenaikan sewa yang tidak mampan sepanjang enam tahun lalu - kenaikan sebanyak tiga kali sejak tiga hingga empat tahun lalu... kami tidak mahu menyokong kenaikan sewa ini, sebab itu kami memutuskan untuk tutup kedai," kata Encik Noorman.
"Lagipun, kenaikan sewa itu tidak setimpal dengan kadar inflasi. Sebilangan pengendali menaikkan kadar sewa antara 20 hingga 70 peratus.

"Ini belum lagi termasuk kos ubah elok, kos pembersihan, kos cuci pinggan mangkuk dan kos khidmat serangga perosak, yang juga perlu kami bayar," keluh Encik Noorman.

Meskipun sebilangan cawangan ditutup kerana kekurangan pelanggan dan tidak membawa keuntungan, beliau tidak menafikan bahawa cawangannya biasanya ditutup disebabkan oleh kenaikan sewa.

"Tidak berbaloi bagi kami untuk teruskan," tambah Encik Noorman.

Antara cawangan yang turut ditutup sejak kebelakangan ini termasuk di Hillion Mall, Lucky Plaza, Paya Lebar Quarter, Tam Chiak Kopitiam, Paya Lebar Square, Solaris @ Kallang 164 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

KEKALKAN JUMLAH CAWANGAN

Sungguhpun demikian, Nasi Lemak Ayam Taliwang tetap mengekalkan jumlah cawangannya iaitu lebih 30 kedai di merata Singapura.

“Kami kini lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan lebih terancang dalam usaha mengembangkan perniagaan.

"Adakalanya, kehendak pemilik premis dan keperluan kami tidak sehaluan. Pemilik premis lebih kecil juga biasanya lebih memahami.

“Kami masih merancang untuk mengembangkan perniagaan, tetapi dengan lebih berhati-hati. Kami mahu bekerjasama dengan pemilik premis yang mengambil kira kemampanan perniagaan penyewa dalam jangka panjang.

"Pada akhirnya, kenaikan sewa yang terlalu tinggi juga tidak adil kepada pelanggan,” kata Encik Noorman.

LEBIH 38,100 PERNIAGAAN DITUTUP DALAM 7 BULAN PERTAMA 2026

Dalam laporan CNA sebelum ini, lebih 3,000 kedai makanan dan minuman di Singapura ditutup pada 2024, iaitu yang tertinggi dalam dua dekad sejak 2005.

Sebanyak 38,146 perniagaan turut ditutup di Singapura dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, meningkat 12.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Sementara itu, sebanyak 49,305 perniagaan baharu didaftarkan setakat 31 Julai.

Data Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) menunjukkan bahawa sektor binaan mencatatkan peningkatan paling mendadak dari segi jumlah penutupan perniagaan.

PENGASAS FLUFF BAKERY TUTUP KAFE BAHARU

Sehubungan itu, Big Mouth Bakehouse, iaitu kafe baharu yang dibuka sekitar setahun lalu oleh pengasas Fluff Bakery, juga sudah gulung tikar.

Big Mouth Bakehouse yang terletak di Wisma Geylang Serai turut dibuka beberapa bulan selepas penutupan Fluff Bakery, yang sudah beroperasi sekitar 12 tahun.

Semasa dihubungi BERITA Mediacorp, pemilik Big Mouth Bakehouse, Cik Nursyazanna Syaira Mohammad Suhimi, enggan mengulas mengenai penutupan tersebut.

"Ia sudah ditutup," jawabnya ringkas.

Awal dari itu, Big Mouth Bakehouse mengumumkan penutupan itu di laman Instagram.

"Kami benar-benar kesal kerana terpaksa membuat pengumuman ini.

"Dengan berat hati, kami telah membuat keputusan yang amat sukar untuk menutup perniagaan kami buat selama-lamanya. Ini bukanlah pengakhiran yang kami harapkan.
"Adakalanya, meskipun kita sudah berusaha sedaya upaya, perkara di luar kawalan tetap berlaku. Kini, perniagaan kami secara rasmi sudah ditutup.

Dan kali ini, tiada lagi peluang untuk membuka lembaran baharu," menurut Big Mouth Bakehouse.

Mengimbas kenangan sejak pembukaan Fluff Bakery 13 tahun lalu, pemilik kafe Big Mouth Bakehouse itu juga menzahirkan penghargaan kepada para pelanggannya.

"Selama 13 tahun, anda memilih untuk membawa pulang hasil bakeri kami.

"Selama 13 tahun, kami menjadi sebahagian daripada sambutan hari lahir dan detik-detik istimewa anda.

"Selama 13 tahun, anda sanggup beratur, membuat tempahan, mengesyorkan kami kepada rakan-rakan, menghantar mesej serta berkongsi kenangan yang tercipta menerusi makanan kami.

"Jadi, dari lubuk hati kami, terima kasih.

"Kami amat menghargai segala sokongan yang diberikan dan buat masa ini, kami hanya mengharapkan sedikit ketenangan, privasi serta ruang untuk menerima pengakhiran ini," tambahnya.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita