Naikkan tambang S$1 tidak membantu, komisen sepatutnya dikurangkan: pemandu Grab
Ramai penumpang turut tidak setuju tambang dinaikkan S$1. Langkah-langkah lain seperti rebat pula terikat pada syarat, tidak membantu semua, kongsi pemandu Grab.
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Pemandu kereta sewa privet yang pendapatan mereka terjejas oleh sekatan pergerakan yang lebih ketat berkata kenaikan tambang asas S$1 pada bulan depan oleh syarikat kereta sewa privet Grab, tidak memadai untuk membantu mereka.
Grab mengumumkan pada Selasa (25 Mei) bahawa ia akan menaikkan tambangnya mulai 1 Jun.
Beberapa pemandu kereta sewa privet memberitahu Mediacorp bahawa kenaikan tambang itu terlalu kecil dan jumlah tempahan perjalanan telah menjunam dengan mendadak berbanding sebelum pandemik COVID-19. Maka itu, kata mereka kenaikan yang diumumkan tidak cukup untuk mengimbangi kehilangan pendapatan pemandu.
Beberapa pemandu lain berkata bahawa langkah-langkah sokongan lain seperti rebat sewa juga tidak sama bagi semua pemandu Grab, jadi tidak semua yang akan meraih faedahnya.
Lima pemandu berpendapat adalah lebih baik jika Grab mengurangkan kadar komisen 20 peratus untuk membantu mereka mengharungi tempoh sebulan dua ini.
Sebilangan pemandu juga menyarankan cara lebih praktikal untuk menyokong mereka adalah dengan memberi baucar makanan dan petrol serta menambah pendapatan mereka dengan agihan wang tunai.
Anggota Parlimen Yeo Wan Ling, yang merupakan penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Privet, juga menyeru Grab agar menyemak semula formula komisennya.
SEMAK SEMULA FORMULA KOMISEN: AP YEO
Bercakap kepada Mediacorp, beliau berkata: "Kami meramalkan bahawa proses pemulihan setelah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) akan memakan masa, dan kami berharap Grab akan terus menyokong sara hidup dan kesejahteraan pemandu kami seperti menyemak struktur komisen, dan bantuan jika pemandu dikuarantin dan kehilangan mata pencarian."
Beliau menambah bahawa pihak persatuan akan bekerja rapat dengan pemandu dan pengendali pengangkutan sewa privet untuk memantau reaksi orang ramai terhadap kenaikan tambang dalam jangka pendek.
Grab menaikkan tambangnya ketika biaya operasi kenderaan semakin tinggi dan jumlah penumpang terjejas akibat pandemik, dengan lebih ramai orang bekerja dari rumah.
Dari 16 Mei hingga 13 Jun, Singapura memperketat langkah-langkah pergerakan dan sekatan kegiatan untuk membendung kes koronavirus yang semakin meningkat.
Buat masa ini sebelum kenaikan tambang itu, harga asas bagi perkhidmatan tambang tetap JustGrab dan GrabCar adalah S$2.50.
Menurut Grab ia tidak akan mengambil komisen bagi tambahan tambang S$1 itu dari 1 Jun hingga 30 Jun.
Bagaimanapun, bermula 1 Julai, Grab akan memotong 20 peratus, kadar komisen biasanya daripada kenaikan S$1 itu, yang akan dikekalkan.
Selain itu, Grab juga sedang mempertimbangkan lebih banyak insentif jika pemandu menyelesaikan tempahan untuk khidmat penghantaran makanan, barang runcit dan bungkusannya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Pemandu juga boleh mendapat rebat tunai nilai tetap, berdasarkan jumlah tempahan pengangkutan dan penghantaran yang mereka selesaikan pada waktu yang ditentukan dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
KENAIKAN TAMBANG MENGUNTUNGKAN GRAB: PEMANDU
Mengulas tentang kenaikan tambang tersebut, pemandu Grab, George Gill, 48 tahun, yang telah memandu sejak 2016, berkata: “Sekiranya bilangan penumpang sedikit, kenaikan S$1 tidak akan banyak membantu.
Encik Gill menambah bahawa agihan baucar bahan makanan, petrol dan makanan akan banyak membantu.
Seorang lagi pemandu Grab, Encik Bhajan Singh, 53 tahun, yang sudah memandu selama empat tahun, bersetuju bahawa Grab tidak harus mengenakan terus komisen ke atas S$1, buat selamanya.
"Lambat laun, (kenaikan tambang dasar) akan menguntungkan Grab, bukan? Semakin banyak pendapatan kita perolehi, semakin banyak mereka untung,” katanya.
Encik Awang Mohd, 58 tahun, pemandu Grab sambilan selama lebih setahun, berkata: “Saya tidak percaya ini adalah untuk kebaikan kita sama sekali. Ini adalah langkah permulaan Grab untuk memperoleh lebih banyak komisen nanti. Saya tidak yakin bahawa ini akan membantu kami."
"Pemandu Grab masih kehilangan pendapatan semasa tempoh ini kerana tidak ramai orang yang keluar. Saya memandu bas mini tetapi saya hanya dapat membawa dua penumpang pada satu-satu masa (kerana had yang dikenakan).
"Bagaimanakah kenaikan S$1 ini bagi setiap perjalanan dapat membantu saya? Lima perjalanan, hanya S$5. Tidak berbaloi jika dibandingkan dengan masa dan usaha."
BANTUAN TERIKAT KEPADA SYARAT
Encik Awang berkata lebih baik lagi jika Grab dapat menawarkan bayaran sekali sahaja kepada pemandu yang telah mencatat beberapa jam perjalanan.
Seorang lagi pemandu, Winston Low, 55 tahun, berkata lebih berguna buat masa ini sekiranya Grab boleh memberi pemandunya bayaran antara S$5 hingga S$8 sejam sebagai contoh.
Encik Low bimbang bahawa kenaikan tambang mungkin menjejas jumlah penumpang dan pemandu Grab mungkin ketinggalan di belakang pengendali pesaing seperti Gojek, Tada dan Ryde.
Menyentuh tentang bantuan lain, Encik Singh menarik perhatian bahawa "kebanyakan insentif Grab terikat dengan syarat seperti 'kawasan yang ditetapkan' dan 'masa yang ditentukan' dan rebat sewa hanya ditawarkan kepada pemandu yang menggunakan GrabRentals atau rakan pembekal kereta tertentu.
“Bagaimana dengan pemandu lain yang tidak menyewa dari syarikat itu atau pemandu yang mempunyai kereta sendiri? Bukankah mereka membayar Grab 20 peratus (komisen) juga? Bagaimana dengan yang lain?
"Sekiranya Grab mahu, ia harus hulurkan (sokongan yang sama) ke seluruh platform. Kami juga pemandu Grab sepenuh masa,” katanya.
KURANGKAN KOMISEN LEBIH BERKESAN: PEMANDU
Semua pemandu sebulat suara berpendapat bahawa mengurangkan komisen adalah langkah yang lebih berkesan.
Encik Suryanto, 34 tahun, seorang pemandu sambilan Grab, berkata: "Sekiranya Grab ingin menolong pemandu semasa masa-masa sukar ini, ia harus mengambil komisen 10 peratus atau tidak mengambil langsung komisen."
Encik Singh berkata bahawa komisen perlu diturunkan kepada 15 peratus secara tetap, sementara Encik Gill mencadangkan rebat komisen yang berubah-ubah antara 15 hingga 20 peratus.
"Sebagai contoh, jika perjalanan adalah S$20 tanpa komisen dan ada rebat 20 peratus, pemandu akan membawa pulang S$24 dan itu akan sangat membantu," kata Encik Gill.
Menurut Encik Gill, keadaan begitu teruk buatnya hingga beliau mengembalikan keretanya dan akan 'gantung kunci' selama sebulan kerana tidak dapat menanggung kos.
APA PULA KATA PENUMPANG
Penumpang yang ditemui Mediacorp berkata mereka tidak keberatan membayar tambahan S$1 pada bulan pertama untuk membantu pemandu, tetapi ada yang tidak mahu terus melakukannya selepas Jun apabila Grab mula mengambil komisen.
Cik Andrea Pak Chan, 34 tahun, seorang kaunselor, berkata: “Pendekatan pertama Grab untuk menangani pengurangan pendapatan pemandu adalah menyerahkan tanggungjawab kepada pengguna. Adakah cara lain sudah dipertimbangkan? "
Emily Ng, seorang guru 48 tahun pula, berkata: "Membantu pemandu tidak mengapa tetapi ... adakah ia adil bagi pengguna seperti saya? Sekiranya Grab ingin menolong pemandu, mereka tidak harus memindahkan (beban) kos kepada pengguna."
Sebagai pengguna kerap Grab, Cik Ng berkata beliau "pasti akan membuat perbandingan harga" pada masa hadapan.
Penjawat awam, Alex Gan 25 tahun, berkata beliau telah memuat turun aplikasi Tada untuk perjalanan, memandangkan Grab masih akan terus mengambil komisen setelah menaikkan tambang.
Yang lain bersetuju bahawa Grab harus mengurangkan komisen untuk membantu pemandu mengharungi masa-masa mencabar ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.