Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Mustafa beli sebahagian pusat beli-belah JB, buka gedung serbaneka pertama di M'sia

Peruncit terkenal di Singapura, Mustafa sedang mengorak langkah pertama untuk menembusi pasaran Malaysia, setelah mendapatkan ruang runcit di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peruncit terkenal di Singapura, Mustafa sedang mengorak langkah pertama untuk menembusi pasaran Malaysia, setelah mendapatkan ruang runcit di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Mustafa, yang mengendalikan gedung serbaneka Mustafa Centre yang dibuka 24 jam di daerah Little India itu, akan membeli 591 unit runcit yang tidak terjual di Capital City Mall, menurut syarikat induk pusat beli-belah itu, Capital World pada Jumaat (27 Jan).

Perjanjian bernilai RM368 juta (sekitar S$114 juta) itu juga termasuk 374 ruang terbuka dan kawasan bagi pelbagai kegunaan dan kesemua 2,181 tempat meletak kereta.

Dengan kebanyakan sekatan pandemik ditarik balik, pengarah pengurusan Mustafa Encik Mustaq Ahmad,  berkata masanya adalah tepat bagi syarikat tersebut untuk menembusi pasaran Malaysia.

"Salah satu cabaran utama kami sehingga kini adalah untuk mencari tempat yang sesuai," katanya.

"Capital City Mall memenuhi kebanyakan daripada keperluan bagi membuka gedung serbaneka  pertama kami di Malaysia, memandangkan lokasinya yang dekat dengan Singapura, ruang lantai yang memadai."

Capital City Mall setinggi 11 tingkat itu siap dibina pada April 2018 dan dibuka pada Oktober tahun yang sama. Ia terletak di kawasan Tampoi iaitu sekitar 15 minit dari pusat pemeriksaan Johor Bahru, jika memandu.

Ia juga sebahagian daripada pembangunan bersepadu pegangan bebas di Tampoi yang termasuk sebuah hotel dengan 315 bilik, sebuah menara setinggi 18 tingkat yang mempunyai 630 suite servis dan 690 apartmen servis dalam tiga blok bangunan.

Di bawah perjanjian penjualan itu juga, Capital World akan membangunkan sebuah kemudahan bilik sejuk setinggi empat tingkat di dalam pusat beli belah itu, yang dijangka dibuka semula pada separuh kedua 2023.

Bangunan itu ditutup pada Februari 2020 disebabkan masalah kewangan, menurut Capital World.

Syarikat itu menyatakan hasil penjualan tersebut akan memberikannya "kekuatan kewangan" untuk membina dan menyiapkan baki komponen dalam pembangunan bersepadu itu.

Ini juga akan membolehkan syarikat tersebut untuk meneroka peluang hartanah yang lain, termasuk membantu Mustafa "mengenal pasti tapak berpotensi di Malaysia dan Indonesia untuk dibangunkan sebagai gedung beli belah raksasa ".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan