Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

M'sia tidak alami krisis ekonomi meski nilai ringgit turun berbanding dolar AS

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak alami krisis ekonomi meski nilai ringgit turun berbanding dolar AS

(Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini, kata Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia. 

Encik Zafrul berkata ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, namun mata wang serantau dan negara maju lain juga turut mencatatkan penurunan yang sama.

“Contohnya, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu," katanya menerusi hantaran video di laman media sosial beliau pada Selasa (13 Sep).

Beliau berkata meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun. 

Menurut beliau lagi, jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit sudah meningkat.

Sebagai contoh, beliau berkata, ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, meningkat 8.2 peratus berbanding pound sterling, (4.5 peratus) berbanding euro, (3.9 peratus) berbanding dolar New Zealand dan (7.2 peratus) berbanding won Korea.  

"Yang penting, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.

"Jadi jangan lihat pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia...depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif," ujarnya. 

Selain itu, kata Encik Zafrul lagi, asas ekonomi negara yang terus kukuh juga penting dalam menentukan kekuatan ringgit. 

Beliau berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang bagi tiga suku tahun berturut-turut bermula pada suku keempat 2021 sebanyak 3.6 peratus, suku pertama 2022 (5.0 peratus) dan suku kedua 2022 (8.9 peratus). 

Sementara itu, Encik Zafrul berkata penurunan kadar pengangguran negara yang jatuh kepada 3.7 peratus pada Julai 2022, iaitu paras terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara, juga merupakan bukti negara tidak mengalami krisis ekonomi.

Selain itu, pada tempoh yang sama juga, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan peningkatan sebanyak 12.5 peratus manakala nilai perdagangan borong dan runcit meningkat 41 peratus kepada RM130.7 bilion (S$40 bilion).

"Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit berjumlah sebanyak RM882.1 bilion (S$274 bilion), 19 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

“Nilai eksport kita pula naik 38 peratus kepada RM134.1 bilion (S$41 bilion), iaitu peningkatan selama 12 bulan berturut-turut bagi tujuh bulan pertama 2022," katanya.

Tambah Encik Zafrul lagi, pelaburan asing bersih di pasaran Bursa Malaysia kini berjumlah lebih RM8 bilion (S$2 bilion) manakala pelaburan runcit bersih juga mencecah RM1.8 bilion (S$550 juta) dari awal tahun sehingga kini. 

Selain itu, kadar inflasi negara juga terkawal pada 2.8 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama 2022 dengan pelaksanaan langkah kawalan harga khususnya melalui pemberian subsidi yang berjumlah hampir RM80 bilion (S$24 bilion) tahun ini.

"Jadi, tidak masuk akal kalau dengan petunjuk-petunjuk positif ini, ada yang kata kita dalam krisis ekonomi," tegas Encik Zafrul. 
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan