Skip to main content

Kewangan

Momentum pertumbuhan ASEAN+3 naik dirangsang pemulihan eksport, pengukuhan permintaan domestik

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi rantau ASEAN+3 pada 2024 dan 2025, masing-masing pada 4.4 peratus dan 4.3 peratus.

Ketua Ekonomi Hoe Ee Khor berkata prospek eksport yang menggalakkan membantu meningkatkan momentum pertumbuhan di rantau itu tahun ini serta tahun-tahun seterusnya, di samping permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.

“Tahun ini, rantau ASEAN+3 dijangka berkembang pada kadar stabil 4.4 peratus.

“Permintaan dalam negeri akan disokong oleh keadaan pekerjaan yang kukuh dan harga yang stabil, manakala pertumbuhan eksport dijangka kembali positif berikutan permintaan global yang meningkat,” katanya di taklimat media online berhubung kemas kini suku tahunan terbaru AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) pada Selasa (16 Jul).

Menurut Encik Hoe, pertumbuhan di ASEAN diunjur meningkat kepada 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada 2023, manakala pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi +3 (China, Jepun, Korea Selatan) diunjurkan kekal stabil pada 4.4 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata AMRO menjangkakan pertumbuhan ASEAN+3 berkurangan sedikit kepada 4.3 peratus pada 2025.

“Imbangan keseluruhan risiko terhadap prospek rantau ini telah bertambah baik sejak April," jelas Encik Hoe.

“Pelancongan telah pulih hampir kepada tahap prapandemik bagi kebanyakan ekonomi di rantau ini, dan pemulihan semikonduktor global semakin meluas untuk memanfaatkan lebih banyak ekonomi dan sektor di ASEAN+3,” tambah beliau.

Encik Hoe seterusnya menyatakan bahawa inflasi di rantau ASEAN+3, tidak termasuk Republik Demokratik Rakyat (PDR) Lao dan Myanmar, diramalkan menjadi sederhana kepada 2.1 peratus pada 2024, lebih rendah daripada unjuran 2.5 peratus pada April.

Ini disebabkan harga makanan yang lebih lemah daripada jangkaan di beberapa ekonomi dan inflasi import yang lebih rendah.

“Berbanding dengan April, sebanyak 11 daripada 14 ekonomi kini dijangka menyaksikan kadar inflasi yang lebih rendah tahun ini.

“Bagaimanapun, risiko penurunan inflasi kekal terutamanya jika ketegangan geopolitik bertambah buruk dan mencetuskan lonjakan harga komoditi dan penghantaran global,” katanya.

Beliau menambah faktor risiko yang berkaitan dengan Amerika Syarikat telah menjadi lebih menonjol, dengan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi untuk lebih lama di sana membebankan kebanyakan mata wang di rantau itu.

Pasaran aset ASEAN+3 juga boleh menyaksikan turun naik yang lebih tinggi menjelang pilihan raya presiden Amerika pada November, terutamanya jika kempen pilihan raya membawa kepada meningkatnya lagi ketegangan perdagangan Amerika-China.

“Prospek rantau ini tahun depan mungkin terjejas dengan ketara disebabkan oleh keputusan pilihan raya Amerika, tetapi ia telah mengharungi kejutan yang sama sebelum ini.

"Ekonomi rantau ini perlu terus membina semula ruang dasar dan meneruskan dasar untuk meningkatkan daya tahan terhadap kejutan," tegasnya lagi.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita