MOF pelawa orang ramai beri maklum balas pindaan Akta GST
Di bawah perubahan-perubahan yang disarankan itu juga, adalah satu kesalahan bagi perniagaan berdaftar GST untuk mengutip jumlah GST berlebihan daripada dibenarkan, tanpa alasan yang munasabah atau disebabkan cuai.
(Gambar fail: Christy Yip)
SINGAPURA: Kementerian Kewangan (MOF) mempelawa orang ramai memberikan maklum balas berkaitan pindaan yang disarankan pada Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ini termasuk cukai baru yang diperkenalkan ke atas perkhidmatan yang diimport dan memberikan kuasa tambahan kepada para pegawai yang menyiasat jenayah cukai yang serius.
Dalam kenyataan Belanjawan 2018 di Parlimen, Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan rancangan untuk mengenakan GST ke atas perkhidmatan digital yang diimport seperti khidmat penstriman filem dan muzik serta aplikasi mudah alih mulai 2020.
GST ke atas perkhidmatan yang diimport akan dilakukan melalui dua cara.
Yang pertama ialah mekanisme bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan bagi perniagaan kepada perniagaan (B2B). Pelanggan perniagaan tempatan yang sudah berdaftar GST dikehendaki membayar GST langsung kepada Penguasa Hasil Mahsul Dalam Negeri (IRAS) bagi perkhidmatan yang diimport.
Bagaimanapun, kebanyakan perniagaan sudah berdaftar GST tidak akan terjejas, kerana sudah dapat menuntut pengembalian GST sepenuhnya yang dibelanjakan bagi pembelian mereka termasuk perkhidmatan yang diimport, menurut MOF dalam satu kenyataan media pada hari Khamis (28 Jun).
Perniagaan-perniagaan yang terjejas termasuk institusi kewangan dan pemaju hartanah kediaman, yang tidak mendapat bayaran balik GST sepenuhnya, tambah MOF.
Cara kedua perkhidmatan yang diimport dikenakan GST adalah menerusi pendaftaran vendor luar negara (OVR) bagi urus niaga perniagaan kepada pengguna (B2C).
Di bawah OVR, para pembekal luar negara dan pengendali pasaran elektronik yang menyediakan bekalan perkhidmatan digital yang besar kepada para pengguna tempatan dikehendaki berdaftar dengan IRAS. Selepas itu, mereka mengambil GST masing-masing bagi bekalan perkhidmatan digital B2C dan membayarnya kepada IRAS.
KUASA TAMBAHAN KEPADA IRAS
Perubahan-perubahan yang disarankan terhadap Akta GST juga termasuk memberi para pegawai IRAS lebih kuasa untuk menyiasat jenayah cukai.
Sekiranya diluluskan, para pegawai IRAS boleh melakukan tangkapan dan masuk ke mana-mana tempat tanpa waran, selain menjalankan pemeriksaan tubuh bagi jenayah cukai serius tertentu.
Kuasa IRAS juga akan diperluaskan untuk membolehkannya mengumpul semua maklumat yang berkaitan dengan siasatannya daripada mana-mana individu. Ia juga akan dibenarkan untuk berkongsi maklumat dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain bagi menangani jenayah serius yang dinilai sebagai kritikal bagi siasatan atau pendakwaan terhadap jenayah yang serius.
Hukuman tahanan juga akan diperkenalkan bagi pengumpulan GST yang tidak dibenarkan di bawah perubahan yang disarankan, dan bukti alternatif selain invois atau resit akan dibenarkan untuk membuktikan jenayah tersebut.
Di bawah perubahan-perubahan yang disarankan itu juga, adalah satu kesalahan bagi perniagaan berdaftar GST untuk mengutip jumlah GST berlebihan daripada dibenarkan, tanpa alasan yang munasabah atau disebabkan cuai.
Perubahan-perubahan itu juga dilanjutkan kepada urus niaga antara pelanggan dengan pemerintah. Dengan ini, bekalan berdaftar GST tidak perlu membezakan urus niaga mereka dengan pemerintah dan pelanggan berdaftar GST.
Perubahan terakhir yang dicadangkan juga akan membolehkan dokumen-dokumen atau barangan yang disita semasa siasatan dimusnahkan sekiranya pemilik barang yang dirampas itu gagal mengambil semula barangan mereka pada akhir siasatan.
Orang ramai boleh memberikan maklum balas mereka antara 28 Jun dengan 18 Julai ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.