Skip to main content

Kewangan

Microsoft potong 650 pekerjaan dalam unit permainan Xbox

Anggaran Waktu Membaca:
Microsoft potong 650 pekerjaan dalam unit permainan Xbox

(Gambar fail: SAUL LOEB / AFP)

ISTANBUL: Microsoft mengumumkan pada Khamis (12 Sep) bahawa ia akan memansuhkan 650 pekerjaan di unit permainan Xbox, lapor Agensi Anadolu (AA).

Langkah itu diambil sedang syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyasarkan untuk mengatur semula perniagaannya bagi "kejayaan jangka panjang", menurut satu memo yang diterbitkan dalam beberapa laporan berita.

Microsoft turut mendedahkan bahawa para pekerja yang meninggalkan syarikat tersebut akan menerima pakej pampasan merangkumi faedah pemberhentian kerja, jagaan kesihatan lanjutan dan khidmat bantuan penempatan kerja.

Pakej pampasan berbeza di luar Amerika Syarikat, bergantung kepada lokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Gaming Phil Spencer berkata akan terdapat kesan kepada pasukan lain dalam syarikat itu, kerana "mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan menguruskan kitaran hayat serta prestasi permainan," menurut memo tersebut.

Langkah ini merupakan kali ketiga Microsoft mengurangkan tenaga kerja dalam bahagian permainan selepas menyelesaikan perjanjian pemerolehan syarikat permainan video Activision Blizzard bernilai AS$69 bilion pada Oktober 2023.

Syarikat itu pada hujung Januari tahun ini turut mengumumkan bahawa ia akan memberhentikan sembilan peratus daripada bahagian permainan, beberapa bulan selepas perjanjian itu selesai.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita