Skip to main content

Kewangan

Microsoft berhentikan sekitar 6,000 pekerja; kedua terbesar berbanding 10,000 pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Microsoft berhentikan sekitar 6,000 pekerja; kedua terbesar berbanding 10,000 pada 2023

Logo Microsoft di luar bangunan. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 14 May 2025 01:06PM Dikemas Kini : 14 May 2025 01:07PM
WASHINGTON: Microsoft menyatakan pada Selasa (13 Mei) bahawa ia memberhentikan kurang tiga peratus daripada tenaga kerjanya atau sekitar 6,000 pekerja.

Ini sedang gergasi teknologi itu berusaha untuk mengawal kos sambil menyalurkan berbilion dolar ke dalam kecerdasan buatan (AI).

Pemberhentian pekerja ini meliputi semua peringkat dan kawasan dan berkemungkinan yang terbesar sejak Microsoft memberhentikan 10,000 pekerja pada 2023.

Syarikat itu telah memberhentikan sebilangan kakitangan pada Januari lalu berhubung isu melibatkan prestasi, namun pemberhentian pekerja kali ini tidak bersangkut paut dengan prestasi, menurut CNBC, yang menjadi agensi pertama untuk melaporkan berita tersebut.

Apabila dihubungi mengenai pemberhentian pekerja di Singapura, Microsoft enggan memberikan perinciannya.

"Kami akan terus melaksanakan perubahan yang diperlukan untuk meletakkan syarikat dengan dalam kedudukan terbaik untuk mengecapi kejayaan dalam pasaran yang dinamik," kata jurucakap Microsoft sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Syarikat-syarikat teknologi telah membelanjakan banyak wang untuk AI kerana mereka melihat teknologi baharu itu sebagai pemangkin untuk menjana pertumbuhan, sambil mengurangkan kos pada bahagian lain untuk melindungi margin keuntungan.

Google juga telah memberhentikan beratus-ratus pekerja tahun lalu, sedang ia berusaha untuk mengawal kos dan mengutamakan AI, menurut laporan media.

Syarikat itu, yang menggajikan 228,000 pekerja pada Jun tahun lalu, sering menggunakan pemberhentian pekerja untuk mengutamakan penyusunan semula kakitangan dalam bidang tumpuan utamanya.

Langkah pada Selasa (13 Mei) dilakukan beberapa minggu selepas Microsoft melaporkan pertumbuhan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan dalam perniagaan pengkomputeran 'cloud' miliknya pada suku tahun terkini, sekali gus meredakan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi yang tidak menentu.

Namun begitu, kos untuk meningkatkan infrastruktur AI telah memberi tekanan kepada keuntungan, dengan margin Microsoft Cloud menjadi lebih kecil kepada 69 peratus pada suku tahun yang berakhir pada Mac berbanding 72 peratus setahun lalu.

Microsoft telah memperuntukkan AS$80 bilion (S$104.1 bilion) bagi perbelanjaan modal pada tahun kewangan ini, dengan sebahagian besarnya bertujuan untuk mengembangkan pusat data bagi mengurangkan cerutan kapasiti untuk perkhidmatan kecerdasan buatan.

Penganalisis DA Davidson, Gil Luria, berkata pemberhentian pekerja itu menunjukkan Microsoft sedang menguruskan "dengan sangat rapi" tekanan margin yang diwujudkan oleh peningkatan pelaburan AI syarikat itu.

"Kami percaya bahawa setiap tahun Microsoft melabur pada tahap semasa, ia perlu mengurangkan jumlah pekerja sekurang-kurangnya 10,000 untuk mengimbangi tahap susut nilai (depreciation) yang lebih tinggi disebabkan oleh perbelanjaan modal mereka," katanya.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita