Maybank beri sokongan kepada SEZ Johor-SG; permudah pelaburan pelanggan sehingga RM2.35 bilion
Syarikat Malayan Banking Bhd (Maybank) telah menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Kementerian Ekonomi Malaysia pada Isnin (19 Mei) bagi menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan memudahkan pelaburan klien sehingga RM2.35 bilion (S$709.4 juta) selama tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang.

(Gambar: AFP)
Maybank adalah salah satu daripada enam bank yang memeterai LOI untuk menyediakan kemudahan itu.
Lagi lima bank adalah CIMB Bank Bhd, Bank of America, HSBC Holdings, Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan CGS International Securities.
Menurut Maybank, LOI itu meliputi empat bidang utama - sokongan kewangan; promosi dan keterlihatan global; kerjasama dalam acara dan penglibatan pihak berkepentingan; serta penyelidikan dan kepimpinan pemikiran.
Di bawah sokongan kewangan, Maybank antara lain akan memudahkan pembiayaan termasuk pembiayaan hijau dan pembiayaan Islamik bagi teknologi baharu yang penting serta pembangunan prasarana dan menyediakan huraian kewangan perdagangan yang menyeluruh, jaminan pelaburan dan kemudahan kredit bagi memikat pelaburan asing secara langsung.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Khairussaleh Ramli berkata Maybank telah melancarkan beberapa inisiatif untuk meletakkan zon itu sebagai sebuah hab serantau, termasuk mengukuhkan ekosistem tempatan dengan meningkatkan kemahiran perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam bidang rantaian bekalan dan kemudahan halal serta mewujudkan unit khas JS-SEZ bagi memacu pelaburan.
Di acara dialog rakan-rakan kongsi JS-SEZ yang dihoskan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia pada Isnin, Maybank menyatakan ia telah memudahkan penyerahan LOI oleh beberapa klien yang berpangkalan di Singapura iaitu Alpine Renewables and Edible Oils Pte Ltd (Alpine), Centurion Corporation Ltd (Centurion) dan Thomson Medical Group Ltd (TMG).
Maybank menambah pelaburan itu akan menyumbang kepada perkembangan 11 sektor ekonomi JS-SEZ terutama sekali ekonomi hijau, pengeluaran, logistik dan jagaan kesihatan, dan ia selaras dengan cita-cita Ekonomi MADANI bagi mewujudkan enjin pertumbuhan yang baharu dan menambah pekerjaan bernilai tinggi.
Maybank menambah TMG telah menunjukkan minat yang kukuh untuk melabur sehingga RM1.5 bilion (S$453 juta) sepanjang 10 tahun akan datang untuk membangunkan Thomson Hospital Iskandariah yang terletak di tapak seluas 1.5 hektar di Stulang, Iskandar Malaysia.
Ia akan mewujudkan kira-kira 1,500 pekerjaan dalam bidang klinikal, penyelidikan, pakar perubatan dan perkhidmatan sokongan termasuk teknologi penjagaan kesihatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.