Skip to main content

Kewangan

'Masih terlalu awal' untuk katakan dunia bakal berdepan inflasi berlarutan, kata Ketua IMF

Anggaran Waktu Membaca:
'Masih terlalu awal' untuk katakan dunia bakal berdepan inflasi berlarutan, kata Ketua IMF

Logo Tabung Kewangan Antarabangsa. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2022 07:56AM Dikemas Kini : 04 Feb 2022 07:57AM

WASHINGTON: Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata pada Khamis (3 Feb) bahawa 'masih terlalu awal' untuk mengatakan sama ada dunia sedang berdepan tempoh inflasi yang berterusan.

Namun, beliau memberi amaran bahawa jika gagal untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya bingkas pada kejutan-kejutan masa hadapan, ia boleh mengakibatkan masalah yang lebih besar.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, memberitahu wartawan bahawa penggubal dasar sejagat harus mengatur dengan teliti dasar fiskal dan kewangan mereka pada 2022 untuk memastikan dana sokongan COVID-19 dan kenaikan kadar faedah tidak menjejas pemulihan.

Minggu lalu, IMF mengurangkan ramalan ekonominya bagi Amerika Syarikat, China dan ekonomi global serta menyatakan keadaan tidak menentu disebabkan pandemik, inflasi, gangguan bekalan dan kewangan yang diperketat AS bakal menimbulkan lebih banyak risiko.

Berbanding tahun pertama pandemik pada 2020, apabila para menteri kewangan dan bank pusat menyelaras tindakan mereka, keadaan di seluruh dunia berbeza-beza. Lantas, memerlukan respons "khusus", kata beliau.

Cik Georgieva berkata pandemik COVID-19 kekal sebagai risiko yang terbesar bagi ekonomi sejagat. Maka penting untuk meningkatkan usaha untuk menaikkan kadar vaksinasi di negara berpendapatan rendah dan mencapai sasaran global kadar vaksinasi iaitu 70 peratus orang di semua negara seluruh dunia menjelang pertengahan tahun 2022.

Ketua IMF berkata bahawa inflasi sudah berlarutan lebih panjang dan naik lebih tinggi di luar jangkaan disebabkan gangguan rantaian bekalan, permintaan lebih kukuh daripada pengguna, yang juga di luar jangkaan, bagi barangan dan masalah iklim yang menjejas harga makanan.

Ditanya sama ada keadaan-keadaan tersebut, dan krisis memuncak antara Rusia dengan Ukraine, boleh mencetuskan satu era inflasi berlarutan, ini kata Cik Georgieva:

"Jawapan ringkasnya adalah, masih terlalu awal untuk menyatakan (sama ada itu sebabnya). Apa yang boleh kita jangkakan adalah keadaan dunia yang lebih sering berdepan kejutan."

Beliau berkata bahawa usaha buat masa ini adalah untuk lebih banyaj melabur dalam daya tahan masyarakat, ekonomi dan sekitaran yang akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang bagi pertumbuhan pekerjaan dan kemakmuran.

Kegagalan untuk berbuat demikian, akan membawa kepada unjuran masa depan yang lebih suram, yang akan menyebabkan "lebih banyak keadaan tidak dijangkakan, yang mana kita tidak bersedia," kata Cik Georgieva, sambil menambah para penggubal dasar juga tidak begitu bersedia untuk menangani lebih daripada satu krisis pada satu-satu masa.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita