Masih ada ruang untuk e-dagang berkembang di Asia Tenggara: Pengasas Shopee
Membeli-belah secara online di Asia Tenggara termasuk di Singapura adalah kurang popular jika dibandingkan dengan pasaran seperti Amerika Syarikat dan China.
Demikian menurut pengasas wadah e-dagang Shopee pada Khamis (7 Nov).
Ini bermakna masih ada ruang untuk berkembang, kata Encik Forrest Li kepada Mediacorp dalam satu sesi perbincangan di Festival FinTech Singapura.
"Cara untuk mengembangnya (e-dagang) adalah dengan memastikan produk kita lebih murah dan lebih mudah diakses," kata Encik Li yang turut mengendalikan wadah permainan Garena di bawah syarikat induk Sea Group yang berpangkalan di Singapura dan tersenarai dalam bursa saham New York.
"Masih jauh lagi perjalanannya... Kami mempunyai ratusan juta pelanggan setiap hari. Saya berharap pada satu hari nanti, ia dapat mencecah lebih sebilion."
Pakar inovasi teknologi itu juga berkata beliau sedang meninjau bagaimana untuk menerapkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok untuk menawarkan khidmat lebih baik kepada pelanggan.
"Kami ingin menyumbang (dan) mengambil bahagian dalam pembangunan teknologi, tetapi kami juga ingin memberi lebih tumpuan pada penggunaan dan bagaimana untuk menggunakan teknologi ini dan menjadikan satu produk dan khidmat harian yang boleh memanfaatkan orang ramai," katanya.
Encik Li akur tentang cabaran sedia ada dalam industri teknologi, yang menjejas pelbagai pihak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh iklim perniagaaan pasca pandemik yang sukar, yang mencetuskan proses pemberhentian kerja dan penjanaan hasil pendapatan lebih perlahan.
Pada 2022, Encik Li kehilangan 80 peratus daripada nilai bersihnya sebanyak AS$22 bilion (S$29 bilion), selepas beliau muncul sebagai salah satu individu yang mengalami kerugian terbesar akibat kejatuhan pasaran yang menyebabkan kerugian lebih AS$1 trilion (S$1.3 trilion) dari 500 individu terkaya di dunia pada tahun itu.
Namun masa depan Sea kelihatan lebih cerah. Selepas mencatat kerugian pada suku pertama tahun ini, syarikat itu meraih keuntungan pada suku kedua.
TEKNOLOGI DAN INKLUSIVITI
Encik Li juga menarik perhatian fokus Sea terhadap teknologi dan inklusiviti.
"Tidak kira industri mana (atau perniagaan) yang kami ceburi - kami benar-benar memberi tumpuan terhadap bagaimana teknologi boleh memberi kelainan kepada sesuatu dan bagaimana teknologi boleh menjadikan produk itu lebih baik, lebih mudah," katanya.
Di sebalik adanya perkembangan teknologi yang mendadak, ramai orang tidak dapat mengalami manfaatnya, kata Encik Li.
Atas sebab itu, syarikatnya ingin menjadikan teknologi lebih mudah diakses, katanya, sambil memberi contoh bagaimana permainan mudah alih popular yang dihasilkan Garena "Fire Free' masih tetap boleh dimain menggunakan telefon bimbit kurang canggih dan khidmat internet yang terputus-putus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.