Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Masa yang sesuai perkukuh kerjasama M'sia-S'pura ketika ekonomi dunia dibuka semula: Menteri Kewangan M'sia

“Kami sentiasa mengalu-alukan pelaburan tambahan dari S'pura, dan kita yakin asas ekonomi M'sia yang kukuh akan terus menarik pelabur, khususnya dari S'pura" - Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz

Anggaran Waktu Membaca:
Masa yang sesuai perkukuh kerjasama M'sia-S'pura ketika ekonomi dunia dibuka semula: Menteri Kewangan M'sia

(Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 09:03PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 09:04PM

KUALA LUMPUR: Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kedua-dua Malaysia dan Singapura mengukuhkan kerjasama dua hala, termasuk meneroka bidang baru dengan kepentingan bersama, terutama ketika ekonomi dunia dibuka semula, kata Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelbagai skim perjalanan termasuk Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) yang telah dimuktamadkan antara kedua-dua negara, akan memudahkan usaha kedua-dua pihak untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan.

"Bagi pelancongan, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada peningkatan ketibaan pelancong untuk menggiatkan semula industri pelancongan dan seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sosioekonomi kita,” katanya pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura.

Bidang lain yang berpotensi tinggi untuk kerjasama ialah Revolusi Industri 4.0, teknologi kewangan, pembuatan termaju, edagang, aeroangkasa dan ekopelancongan.

“Adalah penting bagi kedua-dua Malaysia dan Singapura untuk saling melengkapi bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan sambil kedua-duanya berusaha meningkatkan rantaian nilai global untuk manfaat bersama.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan tambahan dari Singapura, dan kita yakin asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menarik pelabur, khususnya dari Singapura," tambah beliau.

Katanya Kementerian Kewangan Malaysia bersedia untuk memudahkan pelaburan masuk dengan memastikan insentif cukai Malaysia serta pemboleh lain kekal menarik kepada pelabur.

Semasa lawatan kerja itu, Tengku Zafrul turut membincangkan beberapa topik berkisar mengenai perdagangan, ekonomi dan pelaburan dengan para menteri Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi, Heng Swee Keat; Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam; Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kewangan Lawrence Wong; dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Singapura dan Malaysia adalah rakan dagangan kedua terpenting antara satu sama lain.

Singapura ialah sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) negara dan destinasi pelaburan langsung terbesar Malaysia di luar negara (DIA).

Pada 2020, Singapura dinamakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan RM152.83 bilion (S$49.35 bilion), menguasai 21.7 peratus daripada FDI Malaysia.

Hubungan ini adalah hubungan timbal balik kerana Singapura dinamakan sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia pada tahun yang sama (2020), dengan kedudukan Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) bernilai RM110.38 bilion (S$35.64 bilion), iaitu kira-kira 21.3 peratus daripada DIA Malaysia.

Secara keseluruhan, pada akhir suku ketiga  2021, FDI Singapura berjumlah RM162.04 bilion (S$52.32 bilion) manakala DIA mencecah RM106.59 bilion (S$34.42 bilion).

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan