MAS terima 8 aduan sejauh ini mengenai 'pempengaruh kewangan'
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah menerima lapan aduan mengenai pempengaruh kewangan setakat tahun ini.
Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di bangunannya. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)
Ini berbanding dengan lima aduan yang diterima setiap tahun sepanjang lima tahun lalu.
Sebahagian besar aduan yang dibuat pada tahun ini adalah disebabkan oleh komen-komen oleh dua "pempengaruh kewangan" yang menulis catatan tentang mengapa mereka mengeluarkan dana daripada sebuah platform pelaburan, kata Encik Alvin Tan, anggota lembaga MAS dan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan.
Encik Tan berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan di Parlimen berhubung perkembangan yang membawa kepada penggantungan sementara pengeluaran dana serta-merta bagi sebuah platform khidmat kewangan pada Mac tahun lalu.
Chocolate Finance menyatakan pada 10 Mac bahawa ia mengalami permintaan tinggi bagi pengeluaran wang dan menggantung buat sementara waktu pilihan untuk mengeluarkan dana serta-merta.
Mediacorp melaporkan pada ketika itu bahawa seorang pempengaruh kewangan Seth Wee, juga dikenali sebagai Sethisfy telah memuat naik satu video YouTube pada hari sebelumnya untuk menjelaskan mengapa beliau memutuskan untuk mengeluarkan kesemua dananya dari Chocolate Finance.
Encik Tan berkata para pempengaruh kewangan bantu meningkatkan kesedaran terhadap produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institut kewangan dan ada yang menggalakkan orang ramai supaya celik kewangan.
"Namun, mereka harus melakukannya secara bertanggungjawab dan tidak boleh terjerumus ke arah memberikan nasihat kewangan, yang merupakan satu kegiatan yang dikawal selia," katanya.
Encik Tan menambah MAS telah memberi respons kepada kesemua aduan yang diterima tahun ini dan sejauh ini tiada isu-isu tertunggak berhubung aduan tersebut.
MAS SEMAK KES
Beliau juga menjawab dua soalan mengenai perlindungan kepada pelabur runcit dan menggalakkan syarikat-syarikat kewangan supaya bertanggungjawab apabila memasarkan produk-produk mereka.
Beliau menarik perhatian kepada "satu kejadian baru-baru ini" melibatkan sebuah platform pelaburan yang menawarkan pengeluaran dana serta-merta sehingga jumlah tertentu dan membolehkan para pelanggan untuk berbelanja menggunakan kad debit yang dihubungkan pada pelaburan mereka.
Chocolate Finance sebelum ini menawarkan pengeluaran dana serta-merta sehingga S$20,000 setiap hari dan melancarkan sebuah kad debit pada Februari lalu.
Urus niaga pada kad debit tersebut digantung pada bulan lalu sebelum ia disambung semula dengan had S$250 diperkenalkan bagi setiap urus niaga.
Syarat-syarat dan had itu tertera dalam terma dan syarat produk berkenaan, namun ia mungkin tidak berkesan dalam memberikan pemahaman penuh kepada para pelanggan, kata Encik Tan.
"MAS sedang menyemak kes tersebut secara khususnya terhadap keperluan itu, serta secara umum bagaimana untuk memastikan platform-platform pelaburan melaksanakan keperluan itu dengan berkesan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.