Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

MAS longgarkan dasar kewangan buat pertama kali dalam hampir 5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
MAS longgarkan dasar kewangan buat pertama kali dalam hampir 5 tahun

(Gambar fail: ROSLAN RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 24 Jan 2025 11:33AM Dikemas Kini : 24 Jan 2025 11:37AM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bertindak melonggarkan dasar kewangannya buat kali pertama dalam tempoh hampir lima tahun, di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan dan inflasi yang merosot pada tahun hadapan.

Dalam satu kenyataan dasar kewangan Januari yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Jan), bank pusat itu menyatakan ia akan "mengurangkan sedikit" kecerunan jalur dasar Kadar Tukaran Efektik Nominal Dolar Singapura (S$NEER).

Tiada juga perubahan pada kelebaran jalur dasar itu dan titik tengah jalur tersebut.

"Pelarasan ini konsisten dengan laluan peningkatan jalur dasar S$NEER yang sederhana dan berperingkat yang akan memastikan kestabilan harga dalam jangka sederhana," menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa ia menjangkakan momentum pertumbuhan Singapura akan perlahan tahun ini.

“MAS akan memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global dan domestik, dan terus berwaspada terhadap risiko inflasi dan pertumbuhan.”

Bank pusat juga menurunkan ramalannya untuk inflasi teras tahun ini, dengan menyatakan bahawa penunjuk utama untuk harga pengguna telah "menyederhana lebih cepat daripada jangkaan dan akan kekal di bawah dua peratus tahun ini".

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet, dijangka purata antara 1 dengan 2 peratus pada 2025, turun daripada ramalan awal 1.5 hingga 2.5 peratus.

MAS juga menjangkakan inflasi utama purata pada 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini.

"Secara keseluruhannya, prospek pertumbuhan Singapura dan inflasi kekal tertakluk kepada ketidaktentuan dalam persekitaran luaran," menurut kenyataannya.

Semakan itu dibuat sehari selepas data menunjukkan inflasi teras mencecah paras terendah lebih tiga tahun pada Disember 2024. Pada 1.8 peratus, ia lebih rendah sedikit daripada 1.9 peratus pada November.

Inflasi utama tidak berubah pada 1.6 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Disember.

Menjelang mesyuarat dasar, ahli ekonomi tidak bersependapat tentang bagaimana MAS akan bergerak, dengan separuh daripada mereka yang ditinjau oleh Reuters menjangkakan tiada perubahan. Separuh lagi menjangkakan kelonggaran dalam dasar kewangan.

Tidak seperti kebanyakan bank pusat yang menguruskan dasar monetari melalui kadar faedah, MAS menguruskan dasar kewangan dengan membiarkan dolar tempatan naik atau turun berbanding mata wang rakan dagangan utama negara dalam jalur S$NEER yang tidak didedahkan.

Ia menyesuaikan dasarnya dengan menukar kecerunan, titik tengah dan lebar jalur.

MAS mengekalkan dasar kewangan yang tidak berubah sejak diketatkan pada Oktober 2022.

Kali terakhir ia melonggarkan dasar adalah pada Mac 2020 apabila negara menghadapi kemelesetan yang teruk akibat pandemik COVID-19.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan