MAS lantik tiga pengurus aset untuk labur sebahagian dana S$5 bilion, sokong pasaran saham SG
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah melantik tiga pengurus aset di bawah Program Pembangunan Pasaran Ekuiti, seperti yag diumumkan pada Isnin (21 Jul).
Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di bangunannya. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)
Pengurus aset tersebut akan menguruskan S$1.1 bilion pada peringkat awal daripada jumlah dana sebanyak S$5 bilion. Sementara itu, MAS masih lagi menilai penyertaan yang diterimanya daripada lebih 100 firma global, serantau dan tempatan.
Avanda Investment Management, Fullerton Fund Management dan JP Morgan Asset Management merupakan tiga pengurus pertama yang dilantik, menurut MAS dalam kemas kininya menyusuli pengumuman yang dibuat pada Februari lalu.
Pada ketika itu, MAS mengumumkan bahawa program bernilai S$5 bilion itu melibatkan pelaburan menerusi pengurus dana yang memberi tumpuan kepada ekuiti tersenarai di Singapura.
Pengurus-pengurus tersebut dijangka menguruskan pelaburan secara aktif dalam pelbagai syarikat serta menarik pelaburan tambahan daripada pelabur lain.
Program tersebut dicadangkan oleh satu kumpulan kajian yang ditubuhkan pada Ogos 2024 bagi mengukuhkan pasaran saham Singapura, dan menyasarkan untuk menyiapkan tugasnya menjelang akhir 2025.
MAS menyatakan bahawa pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan berhubung Program Pembangunan Pasaran Ekuiti, dan sedang menilai permohonan secara bertahap-tahap untuk mempercepatkan proses pelantikan dan pengagihan dana.
Antara faktor yang dipertimbangkan termasuk sejauh mana strategi dana yang dicadangkan selari dengan objektif program, kekuatan cadangan untuk "menarik penyertaan" modal pihak ketiga, serta komitmen mereka untuk mengembangkan atau menyumbang kepada pertumbuhan keupayaan pengurusan aset dan penyelidikan di Singapura.
“Secara khusus, strategi dana perlu memberi tumpuan yang jelas terhadap usaha meningkatkan kecairan dan memperluas penyertaan dalam ekuiti Singapura, dengan peruntukan ketara kepada saham syarikat kecil dan pertengahan,” menurut kenyataan media MAS.
Fasa pelantikan seterusnya dijangka diumumkan menjelang suku keempat tahun ini.
“Dengan melabur bersama pelbagai pengurus dana yang menggunakan strategi berbeza-beza, program ini dapat memanfaatkan kepakaran pelaburan dan rangkaian pengedaran mereka untuk menarik modal komersial dan merancakkan lagi pasaran,” tambah bank pusat itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran saham Singapura bergelut dengan penilaian yang rendah, kecairan yang terhad dan kekurangan penyenaraian baharu.
Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan 2025 berkata bahawa pemerintah akan memperkenalkan insentif cukai bagi syarikat yang ada ibu pejabat di Singapura dan pengurus dana yang memilih untuk disenaraikan di negara ini.
Encik Wong turut mengumumkan insentif cukai bagi pengurus dana yang membuat pelaburan besar dalam ekuiti tersenarai di Singapura, bagi menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam pasaran modal tempatan.
S$50 JUTA BAGI PENYELIDIKAN EKUITI
MAS turut mengumumkan pada Isnin bahawa S$50 juta daripada Dana Pembangunan Sektor Kewangan akan diperuntukkan bagi meningkatkan skim Geran bagi Pasaran Ekuiti Singapura (GEMS).
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan kumpulan semakan terdahulu untuk beralih kepada rejim yang lebih berasaskan pendedahan maklumat.
“Selari dengan peralihan ini, adalah penting untuk meningkatkan mutu penyelidikan ekuiti sebagai langkah pelengkap,” menurut MAS sambil menambah bahawa usaha tersebut akan memudahkan penemuan harga dan penilaian adil terhadap syarikat, sekali gus membolehkan para pelabur untuk membuat keputusan yang lebih berasaskan maklumat.
Pihak industri juga memberi maklum balas bahawa liputan penyelidikan terhadap saham kecil dan pertengahan boleh dipertingkat.
Selain menyediakan dana sebanyak S$50 juta, tempoh skim GEMS akan dilanjutkan selama dua tahun sehingga akhir 2028.
Setiap laporan penyelidikan akan layak menerima tambahan S$1,000, manakala yang memulakan liputan penyelidikan atau meliputi peringkat pra-tawaran awam dan syarikat yang baru disenaraikan boleh menerima tambahan S$1,000 lagi.
Ini menjadikan jumlah maksimum pembiayaan bagi setiap laporan meningkat daripada S$4,000 kepada S$6,000.
Geran baharu juga akan disediakan untuk menampung kos penyebaran penyelidikan melalui media digital serta menyokong penyelidikan ke atas syarikat swasta yang mempunyai kehadiran yang kukuh di Singapura.
Geran penyenaraian di bawah GEMS juga akan diperluaskan untuk meliputi Resit Depositori Singapura dan Resit Depositori Asing dengan saham asas Singapura, serta bagi penyenaraian dana dagangan bursa utama yang disenaraikan.
Bagi para pelabur, MAS akan memperkukuhkan perlindungan melalui penambahbaikan saluran untuk mengambil tindakan.
Berdasarkan maklum balas bahawa pelabur runcit menghadapi kesukaran untuk memulakan tindakan sivil, pihak berkuasa akan mengadakan rundingan berhubung cadangan yang meliputi tiga aspek - membolehkan tindakan undang-undang difailkan, memudahkan aturan sendiri oleh para pelabur dan menyediakan akses kepada pembiayaan.
MAS juga akan mengkaji cadangan untuk menambah baik peruntukan undang-undang bagi membolehkan para pelabur menuntut pampasan melalui tindakan mahkamah atau penalti sivil, membenarkan wakil untuk menganjur dan melaksanakan tindakan undang-undang bagi pihak pelabur, serta menubuhkan skim geran bagi menampung kos tindakan undang-undang dalam kes salah laku pasaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.