Skip to main content

Kewangan

MAS kenakan syarat modal tambahan terhadap DBS susuli gangguan perbankan digital

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan peraturan modal tambahan terhadap DBS. Ini menyusuli gangguan selama beberapa hari ke atas khidmat-khidmat perbankan digital bank tersebut tahun lalu, yang disifatkan oleh bank pusat itu sebagai "satu gangguan serius".

Anggaran Waktu Membaca:
MAS kenakan syarat modal tambahan terhadap DBS susuli gangguan perbankan digital

Bangunan DBS Bank di Singapura. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 07 Feb 2022 09:27PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan peraturan modal tambahan terhadap DBS. Ini menyusuli gangguan selama beberapa hari ke atas khidmat-khidmat perbankan digital bank tersebut tahun lalu, yang disifatkan oleh bank pusat itu sebagai "satu gangguan serius".

DBS kini dikehendaki mengenakan pendarab 1.5 kali pada aset-asetnya yang dinilai berdasarkan risiko bagi risiko operasi.

Ini bermakna DBS perlu memperuntukkan sekitar S$300 juta dalam bentuk modal kawal selia tambahan, umum MAS pada Isnin (7 Feb). Jumlah itu berdasarkan penyata kewangan yang dilaporkan DBS setakat 30 Disember tahun lalu.

Sebagai perbandingan, jumlah itu empat kali lebih tinggi berbanding jumlah bagi gangguan serupa yang dialami DBS pada 2010.

MAS mengenakan pendarab 1.2 kali pada aset-aset DBS yang dinilai berdasarkan risiko operasi, bersamaan dengan kira-kira S$230 juta dalam bentuk modal kawal selia tambahan.

MAS menyatakan ia mengambil kira "kelemahan pengurusan insiden dan prosedur pemulihan DBS", menyebabkan "tempoh berlarutan" gangguan yang berlaku dari 23 hingga 25 November tahun lalu.

Ramai pelanggan DBS dan POSB tidak dapat mengakses khidmat-khidmat perbankan online mereka ketika gangguan itu berlaku.

Berikutan insiden itu, bank tersebut mengaitkan gangguan yang dialami dengan "satu masalah pada server kawalan aksesnya" dan menyatakan ia bukan satu serangan siber.

Pada Isnin, MAS menyatakan ia sudahpun mengarahkan DBS supaya melantik pakar bebas bagi menjalankan satu "semakan menyeluruh" terhadap insiden tersebut, temasuk tindakan pemulihan bank.

Semakan itu juga dikehendaki menilai bagaimana insiden serupa boleh dielakkan pada masa akan datang, menurut MAS lanjut.

"DBS mesti memperbetulkan semua kelemahan yang dikenal pasti daripada semakan itu dan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan sebarang gangguan pada masa depan terhadap khidmat perbankan digitalnya dihuraikan dengan pantas dan sewajarnya," tambah bank pusat itu.

"Syarat modal tambahan akan disemak semula apabila MAS berpuas hati yang DBS sudahpun menangani kelemahan yang dikenal pasti."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita