MAS kekalkan dasar kewangannya
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengekalkan dasar kewangannya yang berasaskan kadar pertukaran pada Selasa (14 Okt), selaras dengan jangkaan pasaran.
Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada bangunan ibu pejabatnya di Singapura, pada 9 April 2025. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Dalam kenyataan dasar kewangannya pada Oktober, bank pusat Singapura itu menyatakan bahawa ia akan “mengekalkan kadar peningkatan semasa” bagi jalur dasar Kadar Pertukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$NEER).
Tiada perubahan dibuat terhadap jalur dasar tersebut mahupun paras tengahnya.
Daripada 14 penganalisis yang ditinjau Reuters, 10 menjangkakan MAS akan mengekalkan dasarnya tanpa perubahan dalam semakan berkala kali ini, selepas tidak membuat sebarang pelarasan pada Julai lalu, dengan pertumbuhan suku kedua mencatat prestasi lebih kukuh daripada jangkaan.
Terdahulu, MAS sudah melonggarkan dasar kewangannya sebanyak dua kali — pada Januari dan April — bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan kebimbangan berhubung tarif. MAS melakukan empat semakan dasar setiap tahun.
MAS menyatakan bahawa selepas melonggarkan dasarnya sebanyak dua kali tahun ini, pertumbuhan ekonomi Singapura “didapati lebih kukuh daripada jangkaan dan jurang pengeluaran dijangka kekal positif pada 2025 dan berada pada sekitar 0 peratus tahun depan.”
Ia turut menjangkakan inflasi teras akan “mencapai paras terendah dalam masa terdekat” sebelum meningkat secara beransur-ansur sepanjang 2026.
“MAS berada dalam kedudukan yang sesuai untuk bertindak balas dengan berkesan terhadap sebarang risiko kepada kestabilan harga jangka sederhana, dan akan terus memantau perkembangan ekonomi dengan teliti di tengah-tengah ketidaktentuan persekitaran luar,” menurut kenyataan tersebut.
Tidak seperti kebanyakan bank pusat lain yang mengurus dasar kewangan melalui kadar faedah, MAS melaksanakannya dengan membenarkan nilai dolar Singapura naik atau turun berbanding mata wang rakan dagang utamanya dalam satu jalur yang tidak didedahkan, dikenali sebagai S$NEER.
Pelarasan dasar dibuat dengan menukar kadar peningkatan, paras tengah dan julat dasar tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.